Siri Everybody’s Golf sememangnya tidak asing buat pemain Playstation di mana siri tersebut pertama sekali diperkenalkan lebih dari 20 tahun lepas di konsol Playstation 1, iaitu permainan berdasarkan sukan golf dengan pelbagai elemen simulasi. Sejak pelancaran permainan pertama, siri tersebut berkembang dengan pelbagai sekuel, sehinggalah permainan terakhir mereka iaitu Everybody’s Golf di Playstation 4 pada 2017 lepas.

Terkini Japan Studio dari Sony dan Clap Hanz meneruskan lagi legasi siri tersebut dengan bentuk permainan realiti-maya iaitu Everybody’s Golf VR yang mana ianya dilancarkan 21 Mei 2019 lepas di konsol Playstation 4 melalui Playstation VR.

Semestinya dari segi aspek ulasan ini, tidak banyak yang saya boleh ulaskan kerana ianya adalah satu permainan asas sukan golf sahaja yang menyertakan mod realiti-maya. Bahkan, terdapat beberapa kandungan yang agak asas dan berkurangan jika ingin dibandingkan dengan permainan penuh Everybody’s Golf yang dilancarkan beberapa tahun lepas.

Tambahan itu, permainan ini tidak langsung mempunyai sebarang penceritaan yang unik mahupun mod karier tersendiri, sekaligus untuk mengulaskan aspek tersebut adalah tidak adil pada pendapat saya.

Grafik

Meskipun begitu, perkara pertama yang saya akan ulaskan semestinya aspek visual dan grafik permainan ini yang mana ianya adalah satu aspek yang sangat penting buat permainan realiti-maya atas sebab segala visual yang diperlihatkan akan memainkan peranan penting setiap kali saya menyelami dunia realiti-maya di dalam Everybody’s Golf VR ini.

Sememangnya saya tidak perlu khuatir dengan kualiti yang dibawakan oleh Clap Hanz buat permainan ini kerana ianya adalah visual permainan yang sangat menawan sekali. Saya tidak akan bandingkan kualiti visual permainan ini seperti permainan bertaraf AAA yang lain, namun untuk visual bagi satu permainan realiti-maya, Everybody’s Golf VR memaparkan satu visual yang cemerlang dan bersesuaian sebagai satu permainan simulasi sukan.

Dengan pelbagai bentuk pemandangan melalui pelbagai lokasi, permainan ini semestinya berjaya menawan hati saya dari segi aspek rekaan litar Golf yang tersedia, bahkan dengan menyediakan beberapa lokasi yang menarik, membuatkan permainan ini lebih menarik untuk dipermainkan.

Selain itu, permainan ini juga menyediakan tiga watak kedi untuk anda berinteraksi di mana mereka akan menemankan anda di dalam keseluruhan sesi anda bermain golf. Pada pendapat saya, watak-watak tersebut semestinya mempunyai hasil visual grafik dan ekspresi riak wajah yang menarik yang membuatkan permainan tersebut berasa lebih nyata, terutamanya apabila diperlihatkan secara realiti-maya.

Tambahan lagi, saya perlu puji atas tindakan Clap Hanz untuk membawa visual grafik yang lebih realistik terutamanya watak-watak di dalam permainan ini memandangkan ianya adalah permainan realiti-maya. Namun, ini juga membuatkan rekaan-rekaan klasik watak-watak comel dari siri Everybody’s Golf sebelum ini tidak lagi tersedia di dalam permainan ini.

Dari segi aspek realiti-maya, saya sendiri tidak mengalami sebarang kepeningan mahupun kepenatan ketika bermain permainan ini. Bahkan saya sempat bermain secara 2 jam tanpa henti, dan keseluruhan sesi permainan saya sangat baik sekali.

Menariknya, bagi anda yang tidak biasa dengan permainan realiti-maya, saya sangat mengesyorkan anda untuk bermula dengan bermain permainan ini kerana ianya tidaklah mempunyai sebarang aspek dan bentuk permainan beraksi mahupun yang pantas. Sekaligus, ianya adalah satu bentuk pengenalan yang baik buat dunia realiti-maya melalui Playstation VR.

Audio

Namun begitu, dari segi aspek audio, tidak banyak yang saya boleh katakan memandangkan secara asasnya, permainan ini menyertakan pelbagai muzik latar yang menarik dicampur suasana di padang golf yang sangat mengasyikkan.

Akan tetapi, jika saya ingin memberi sedikit penilaian, semestinya suara latar untuk watak-watak yang tersedia agak pelik dan janggal. Namun, ianya tidaklah begitu teruk jika ingin dibandingkan dengan kualiti suara latar permainan bertarafkan sebegini.

https://www.youtube.com/watch?v=HR7DKPCyPi4

Dari segi aspek realiti-maya melalui audio pula, saya sendiri berpuas hati dengan bentuk yang tersedia di mana saat seperti burung berterbangan ataupun kapal terbang melalui litar ataupun padang golf tersebut, ianya menghasilkan suasana yang sangat meluas dan nyata di dalam permainan tersebut. Ianya menjadi lebih nyata apabila anda melihat ke arah sumber bunyi tersebut, audionya menjadi lebih kuat. Sekaligus membuahkan rasa “mendalam” permainan ini lebih bagus.

Sudah pasti bagi anda yang tidak mahu ke padang golf sebenar, permainan ini berupaya untuk memberi pengalaman berada di padang golf dengan baik sekali yang mana pasti lebih murah tanpa perlu menyewa sebarang kelengkapan golf tambahan mahupun bermainnya di rumah sahaja tanpa perlu memakai sebarang seluar “slacks” seakan dato-dato di dalam drama TV.

Kawalan

Dari segi aspek kawalan semestinya alat kawalan itu sendiri di mana melalui Everybody’s Golf VR, permainan ini membenarkan pemain untuk bermain dengan menggunakan alat kawalan Dualshock 4 ataupun Playstation Move.

Semestinya, pilihan alat kawalan yang terbaik adalah Playstation Move di mana ianya bukan sahaja memberi satu pengalaman seakan memegang kayu golf, malah kawalan secara pergerakan yang lebih tepat membuatkan permainan ini berasa lebih seronok untuk dimainkan.

Akan tetapi, pada pendapat saya permainan ini pada awalnya agak sukar untuk dimainkan kerana saya sendiri masih belum biasa dengan jejakkan pergerakan dengan menggunakan kawalan secara pergerakan. Semestinya, ianya mudah sahaja setelah anda bermain berkali-kali. Namun, ianya masih lagi memberi cabaran yang agak tinggi buat anda yang tidak biasa dengan permainan yang menggunakan alat kawalan Playstation Move.

Walau bagaimana pun, setelah anda biasa dengan pergerakan dan jejakkan alat kawalan Playstation Move tersebut, permainan ini lebih mudah dimainkan bahkan ketepatan kawalannya adalah sangat asyik dan menyeronokkan. Semestinya setiap kali saya menghayun kayu golf saya, impaknya membuatkan saya seakan bermain golf sebenar dan pada pendapat saya ia adalah satu pengalaman permainan yang sangat baik sekali.

Selain itu, permainan ini juga agak mendalam dari segi aspek litar ataupun padang golf tersedia, seperti permainan-permainan golf yang lain di mana pemain juga perlu mengambil aspek seperti angin, kedudukan bola golf dan sebagainya sebelum melakukan sebarang hayunan terhadap bola golf tersebut.

Dari segi aspek bentuk permainan simulasi golf yang lain, permainan ini juga menyertakan beberapa bentuk latihan seperti puter, lintasan dan sebagainya yang mana pasti akan memberi peluang untuk pemain untuk menjadi lebih baik. Permainan ini juga menyediakan beberapa fungsi kemudahan seperti angin yang akan membantu bola untuk masuk ke lubang golf. Fungsi ini bukan sahaja memudahkan pada peringkat awal permainan, bah memberi peluang kepada saya sendiri untuk mendapatkan “Birdie” mahupun “Hole In One”.

Selain itu, antara aspek yang penting di dalam permainan ini adalah kedi yang akan sentiasa menemani pemain di dalam keseluruhan permainan ini. Pada pendapat saya, mereka juga adalah mengapa membuatkan permainan ini lebih bernyawa kerana watak-watak tersebut merupakan satu-satunya watak yang pemain akan berinteraksi ketika berada di padang golf.

Dari segi aspek kedi tersebut, ianya menyertakan 3 pilihan watak yang pemain boleh pilih di mana setiap satunya mempunyai watak personalitinya tersendiri. Selain itu, pemain juga berupaya untuk menukar kostum-kostum watak kedi tersebut dan untuk mendapatkan kostum tambahan lain, pemain hanyalah perlu bermain dan mendapatkan nilai markah yang tinggi.

Selain itu, permainan ini juga menyediakan beberapa elemen “fan service” melalui watak kedi tersebut di mana secara rawaknya, pemain akan menyah-kunci sebilangan adegan-adegan bersama kedi tersebut. Ianya adalah bergantung berdasarkan pilihan kedi yang pemain gunakan dan adegan yang dipertontonkan hanyalah menyediakan beberapa adegan interaksi yang ringkas sahaja.

Meskipun dengan segala bentuk permainan yang disediakan, permainan ini juga masih berasa kosong memandangkan pemain tidak langsung berinteraksi dengan watak lain, bahkan permainan ini tidak langsung menyediakan sebarang mod solo yang menarik mahupun mod penceritaan.

Setiap kali saya bermain di dalam litar ataupun padang golf di dalam permainan ini juga berasa kosong memandangkan saya sendiri tidak akan berjumpa pemain golf yang lain mahupun sebarang penonton ataupun watak-watak lain. Ini sekaligus membuatkan permainan ini berasa agak kosong, di mana ianya memberi kesan yang agak mengecewakan buat siri permainan yang mana sebelum ini memfokuskan interaksi antara pemain golf yang sangat mendalam.

Permainan ini juga tidak mempunyai sebarang pengubah-suaian avatar seperti permainan sebelum ini dan pemain hanya berupaya untuk mengubah kayu golf sahaja. Tetapi tidak banyak pilihan yang tersedia dan saya sendiri memahami kenapa ianya tidak disertakan atas sebab anda akan bermain secara realiti-maya, sekaligus anda tidak langsung akan melihat pakaian ataupun kostum anda sendiri.

Kandungan Tambahan

Dari segi kandungan tambahan, permainan ini tidak langsung mempunyai sebarang mod multi-pemain mahupun sebarang mod karier. Mod yang tersedia adalah hanya untuk anda bermain golf berdasarkan litar-litar yang tersedia sahaja.

Meskipun begitu, anda masih lagi boleh mengubah tetapan litar tersebut seperti memilih nilai litar ataupun “lubang” yang anda ingin mainkan ataupun menterbalikkan litar tersebut untuk memberi sedikit kelainan di dalam litar tersebut.

Ianya juga mempunyai carta kedudukan atas-talian yang mana pemain boleh melihat senarai-senarai pemain yang mendapat nilai markah tertinggi mengikut litar yang tersedia. Namun, memandangkan saya sendiri tidak begitu mahir di dalam permainan ini, sekurang-kurangnya rekod peribadi setiap litar buat pemain juga boleh di akses.

Kesimpulan

Tuntasnya, permainan Everybody’s Golf VR sememangnya satu permainan simulasi golf realiti-maya yang baik. Dari segi aspek kawalan, mahupun bentuk permainan ianya sememangnya membawa satu pengalaman bermain di padang golf yang sangat nyata, terutamanya buat mereka yang meminati sukan golf.

Meskipun begitu, dari segi aspek kandungan mahupun mod permainan yang tersedia, ianya agak mengecewakan dan tidak langsung mempunyai sebarang kandungan yang menarik untuk bermain berulang-ulang kali. Untuk membuatkannya lebih kecewa perasaan kosong tersebut juga dibawa ke dunia permainan ini yang berasa sangat sunyi dan tanpa sebarang mod multi-pemain mahupun mod karier.

Untuk anda yang menyukai sukan golf, ini mungkin adalah satu permainan simulasi golf yang menarik buat anda. Namun untuk anda yang hanya bermain permainan secara bersahaja, saya sendiri tidak mengesyorkannya. Malah saya sendiri juga hanya bermain Everybody’s Golf VR ini untuk mengulaskan permainan ini sahaja dan tidak langsung menyentuhnya setelah saya tamat mengulaskan permainan ini.

Penafian: Kod ulasan untuk permainan Everybody’s Golf VR disediakan oleh Playstation Asia.

Sohor Kini