Overwatch bakal memulakan kemas kini kandungan bermusim terbaharu menerusi pelancaran Musim 3: Into the Tiger’s Den pada 17 Jun. Kemas kini ini membawakan pelbagai kandungan penting termasuk pengenalan Hero kelas Damage baharu, peta Hybrid, serta acara penceritaan bermusim.
Hero baharu yang diperkenalkan untuk musim ini ialah Shion, iaitu pemimpin bagi kumpulan Hashimoto Clan. Dalam naratif permainan, watak tersebut muncul sebagai salah satu ancaman berbahaya ekoran daripada peningkatan pengaruh organisasi Talon di sebuah bandar yang dikuasai oleh empayar jenayah dan konflik dalaman.
Pemain juga akan menerima peta jenis Hybrid baharu yang dinamakan Neon Junction. Peta ini membawakan reka bentuk kawasan bandar berlampu neon yang turut menyimpan pelbagai rahsia untuk diterokai oleh komuniti sepanjang musim berlangsung.


Selain itu, kemas kini ini turut menyertakan acara penceritaan bermusim baharu yang dikenali sebagai Anima Strike, rancangan kolaborasi bersama pencipta kandungan, serta sistem ganjaran terbaharu. Antara kandungan kosmetik utama yang disahkan hadir ialah skin Mythic Ascendant Phoenix untuk Illari dan kosmetik senjata Tokyo Rebel bagi watak Hanzo.


