505 Pulse telah mengumumkan kerjasama dengan pembangun dari Sweden, Nicklas Nygren atau lebih dikenali sebagai Nifflas untuk melancarkan projek terbaharunya yang bertajuk Rhythm Doggo. Permainan ini dijadualkan menemui pemain pada tahun 2027 untuk PC.
Rhythm Doggo membawakan mekanik permainan yang dipengaruhi secara langsung oleh sistem audio prosedur dan muzik dinamik. Latar suara dalam permainan ini akan berubah secara masa nyata berdasarkan setiap pergerakan dan keputusan yang diambil oleh pemain. Pendekatan ini mengekalkan gaya penghasilan Nifflas sebelum ini yang mengutamakan penerokaan atmosfera yang minimalis serta kebebasan bermain berbanding panduan tutorial yang ketat. Permainan ini juga akan menampilkan elemen teka-teki dengan membawakan visual bertemakan anjing neon.
Satu keunikan yang disahkan untuk projek ini adalah penglibatan anjing peliharaan Nicklas Nygren sendiri yang bernama Hotdog. Hotdog bukan sahaja dipaparkan di dalam permainan, malah bertindak sebagai salah seorang pelakon suara bagi watak di dalamnya.



Bagi yang berminat, permainan ini kini telah membuka pendaftaran bagi sesi ujian permainan tertutup (Private Playtest) yang boleh disertai oleh peminat melalui Forum Steam dan saluran Discord rasmi mereka. Selain itu, sebuah treler pengenalan juga telah diterbitkan bagi memberikan gambaran awal mengenai mekanik dan reka bentuk dunia Rhythm Doggo.
Sebelum pengumuman ini, Nicklas Nygren terkenal dengan pembangunan beberapa judul permainan video lain seperti Knytt Stories, Ynglet, NightSky, Within a Deep Forest, dan Affordable Space Adventures.


