PICO PARK Inc. telah mengumumkan judul terbaharu dalam siri permainan mereka yang bertajuk SONIC PICO PARK. Permainan ini merupakan projek kolaborasi bersama siri Sonic the Hedgehog daripada SEGA Corporation sempena sambutan ulang tahun ke-35 francais tersebut.
Siri PICO PARK yang sebelum ini telah mencatatkan jualan melebihi 8 juta unit di seluruh dunia mengekalkan identitinya sebagai Cooperative Action Puzzle Game. Melalui judul kolaborasi ini, watak utama siri tersebut iaitu PICO CAT akan digabungkan bersama barisan watak daripada dunia Sonic seperti Sonic, Tails, Knuckles, dan Amy.
Setiap watak yang boleh dimainkan dalam SONIC PICO PARK dilengkapi dengan kebolehan Spin Dash. Reka bentuk tahap permainan turut membawakan elemen klasik daripada siri Sonic seperti Rings, Loops, dan Springs yang disesuaikan dengan mekanik teka-teki siri asal. Paparan awal bagi beberapa tahap yang disediakan telah diperlihatkan buat kali pertama menerusi treler di acara Summer Game Fest 2026.
Pengarah permainan, Shunsuke Miyake, menyatakan bahawa projek ini menggabungkan corak permainan kerjasama siri asal dengan aksi serta mekanik ikonik Sonic. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat selama 15 tahun di SEGA sebelum membangunkan siri PICO PARK secara bersendirian pada fasa awal.


SONIC PICO PARK menyokong mod permainan untuk 2 hingga 8 pemain, yang boleh dimainkan secara setempat mahupun dalam talian. Pihak pembangun mengesahkan permainan ini akan dilancarkan untuk PC, manakala senarai platform lain akan diumumkan pada masa hadapan. Selain pelancaran permainan video, perancangan bagi jualan barangan cenderamata rasmi yang menampilkan watak kolaborasi ini turut sedang berjalan.


