NetEase Games dan Joker Studio telah mendedahkan treler baharu bertajuk “Make it Loud” untuk permainan video akan datang mereka, Sea of Remnants. Melalui pendedahan ini, pihak pembangun berkongsi maklumat lanjut mengenai barisan faksi, mekanik permainan, serta hala tuju naratif projek tersebut.

Permainan percuma untuk dimainkan yang memfokuskan kepada sesi permainan solo ini disahkan akan dilancarkan untuk platform PlayStation 5 dan PC.

Di dalam Sea of Remnants, pemain bakal mengawal watak seorang pelaut “puppetfolk” yang hilang ingatan. Pemain ditugaskan untuk merentasi lautan luas bagi mencari watak penting, mengumpul semula memori yang hilang, dan merungkai kebenaran yang ditenggelamkan laut. Permainan ini membawakan sebuah hab bandar utama reaktif bernama Orbtopia yang dihuni oleh lebih 400 NPC dengan corak tingkah laku tersendiri. Setiap keputusan pemain serta watak yang berjaya dibawa pulang akan mempengaruhi kedudukan faksi dan mengubah persekitaran sosio-politik bandar tersebut.

Dari segi mekanik, permainan ini membawakan kitaran teras ‘Set Sail—Explore—Collect—Return’. Berbeza dengan sistem tradisional, ia menggunakan pendekatan long-form roguelike structure di mana setiap pelayaran dikira sebagai satu pusingan run yang panjang, manakala perkembangan watak kekal secara berterusan. Selepas setiap pelayaran, pemain boleh kembali ke Orbtopia untuk menyusun semula kelas dan tetapan krew, menjual harta karun, serta menaik taraf kapal untuk meneroka kawasan lautan yang lebih jauh.

Sistem pertempuran permainan ini menggunakan mekanik Strategic Turn-Based JRPG Combat yang mengutamakan pengaturan krew dan sinergi kemahiran berbanding tindak balas refleks. Bagi pertempuran maritim pula, pembangun menekankan aspek sinematik berskala besar yang memfokuskan kepada visual dan suasana lautan, bukannya kawalan mekanikal yang jitu. Dunia lautan ini turut dilengkapi dengan sistem cuaca dinamik, kepelbagaian ekosistem pulau, serta aktiviti santai bersepadu untuk mengimbangi rentak permainan.

Treler “Make it Loud” yang dikongsikan turut memperkenalkan faksi armada yang wujud di dalam dunia permainan ini. Antaranya ialah Dawnbreaker yang merupakan armada elit di bawah naungan Empress, Black Baron yang beroperasi secara tertib dengan peraturan ketat, dan Ranbo yang digambarkan sebagai kumpulan pemuzik rock liar di Orbtopia. Faksi lain yang turut diperlihatkan ialah Wanderer yang bergerak bebas mencetuskan huru-hara, Illusion Troupe yang menjadi rumah buat golongan Shoreless, serta Drift Bottle yang menerima penumpang tanpa memedulikan asal-usul mereka.

Joker Studio yang ditubuhkan pada tahun 2018 sebelum ini terkenal dengan pembangunan permainan Identity V, yang kini telah mencatatkan jumlah melebihi 400 juta pemain di peringkat global.

Leave a Reply