Peminat francais ONE PIECE bakal mengambil alih tugas menguruskan sebuah restoran terapung menerusi ONE PIECE: Grand Gourmet, sebuah judul Management Sim baharu yang dijadualkan pelancarannya pada 23 Oktober 2026. Permainan ini akan ditawarkan secara rasmi untuk platform Nintendo Switch, PC, iOS dan Android.
Dibangunkan dengan gaya seni visual piksel, permainan ini meletakkan pemain di atas kapal Baratie Number Two. Objektif utamanya adalah untuk menubuhkan sebuah restoran lautan bersama Straw Hat Crew dan tukang masak kumpulan tersebut, Sanji. Permainan ini membawakan skala yang besar dengan penyertaan lebih daripada 400 watak daripada siri anime dan manga asalnya, yang akan muncul sebagai kakitangan restoran mahupun pelanggan.
Di dalam permainan ini, pemain ditugaskan untuk mengumpulkan bahan mentah dan bekerjasama dengan Sanji bagi menyediakan hidangan. Menu-menu yang ditawarkan merangkumi resipi seperti Water-Water Meat BBQ dan Sea King Penne Gorgonzola, sehinggalah kepada masakan istimewa yang diinspirasikan oleh kuasa Devil Fruit. Pemain kemudiannya perlu menyusun hidangan tersebut menjadi set makanan yang lengkap sambil terus meneroka untuk mencari lebih banyak resipi baharu.



Selain daripada aktiviti memasak, aspek hiasan dalaman restoran juga merupakan mekanik penting. Pemain diberikan akses kepada lebih 200 barangan dekorasi untuk menghias ruang makan mengikut cita rasa masing-masing. Pilihan hiasan ini merangkumi pelbagai tema lokasi ikonik seperti elemen pencuci mulut dari Whole Cake Island dan perabot futuristik dari pulau Egghead. Susun atur dan reka bentuk dalaman ini akan mempengaruhi kehadiran pelanggan; jika sesebuah karakter menyukai hiasan yang dipamerkan, wujud kebarangkalian tinggi untuk mereka kembali sebagai pelanggan tetap.
Interaksi juga memainkan peranan utama di mana pemain dapat menyaksikan pelbagai acara khusus yang melibatkan watak kawan dan lawan sepanjang mereka beroperasi.


