Satu judul bergenre life-sim adventure baharu bertajuk Vivarium telah didedahkan secara rasmi semasa acara Xbox Games Showcase 2026. Permainan yang menampilkan seni visual lukisan tangan berinspirasikan anime ini disasarkan untuk pelancaran pada tahun 2027 dan bakal ditawarkan untuk Xbox dan PC.

Vivarium meletakkan pemain dalam peranan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun bernama Jenny yang tinggal di sebuah pekan kecil di dalam sebuah terarium. Struktur permainan ini berkait rapat dengan masa nyata, di mana setiap hari di dunia sebenar akan menjana acara penceritaan dan penemuan baharu di seluruh peta permainannya.

Kemajuan masa di dalam permainan digerakkan melalui penyiapan misi-misi utama. Apabila menjelang waktu malam, pemain diberikan kebebasan mutlak untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti menguruskan tanaman, memasak resipi baharu, menghias kediaman, atau meluangkan masa dengan koleksi buku dan piring hitam milik Jenny.

Walaupun permulaan permainan memfokuskan kepada rutin harian yang tenang, jalan cerita Vivarium direka untuk berkembang secara dinamik. Aliran penceritaan akan berubah untuk mendedahkan misteri sebenar di sebalik dunia terarium tersebut. Pemain bebas melakukan pelbagai pilihan dan interaksi perbualan yang secara langsung akan mengubah persekitaran, nasib watak-watak lain, serta menghasilkan pengakhiran cerita yang berbeza.

Projek ini dibangunkan oleh Studio Meadowflower dan diterbitkan oleh Serenity Forge, dengan kerjasama bersama Crunchyroll dan Shochiku Games.

Leave a Reply