Siri permainan video Hellblade bakal menerima pendekatan baharu melalui pengumuman judul terbaharu, Senua, yang dijadualkan dilancarkan pada tahun 2027. Diperkenalkan secara rasmi dalam acara Xbox Games Showcase 2026, permainan video ini disahkan akan tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC.
Siri ini tidak dinamakan sebagai Hellblade III kerana membawakan anjakan genre yang ketara. Studio Head Ninja Theory, Dom Matthews, menyatakan bahawa Senua dibangunkan sebagai sebuah permainan video action-adventure sepenuhnya. Berbeza dengan dua judul terdahulu yang memfokuskan kepada penceritaan intim dengan skala pasukan kecil, projek kali ini membahagikan mekanik permainan secara seimbang antara combat, traversal, dan puzzle solving bagi memberikan pengalaman yang lebih kepada pemain.
Sistem combat di dalam Senua diperluaskan dengan memperkenalkan kebolehan bertarung menentang pelbagai musuh secara serentak, penggunaan elemen persekitaran, serta rekaan ruang bertarung yang mempunyai variasi ketinggian (verticality). Pemain kini mempunyai pilihan taktikal sama ada mahu menyerang secara stealth atau berhadapan secara terus. Watak utama juga boleh menggunakan pelbagai jenis senjata seperti kapak panjang, kapak pendek, membaling senjata, serta memegang dua senjata serentak (dual wielding). Selain itu, sistem bertarung ini dilengkapi dengan Focus Abilities khas, seperti kebolehan memecahkan realiti (shatter reality) untuk mengawal pergerakan kumpulan musuh, di samping pengenalan pertempuran watak bos (boss fights) yang lebih fantasi.

Dari segi rekaan dunia, permainan ini menampilkan satu peta tunggal berasaskan lokasi yang saling berhubung dengan saiz sekali ganda lebih besar berbanding Hellblade II. Walaupun mengekalkan struktur cerita yang linear, pemain diberi ruang untuk meneroka kawasan sekitar dengan kelajuan pergerakan yang lebih pantas, serta pergerakan bebas seperti melompat, memanjat, dan melompati halangan. Mekanik penerokaan ini dihubungkan dengan pengalaman psikosis watak utama, di mana kefahaman dan kepercayaan baharu Senua terhadap objek persekitaran, seperti bentuk pokok yang luar biasa mampu membuka akses ke kawasan rahsia dalam dunia tersebut.
Naratif Senua mengambil tempat selepas peristiwa di dalam Hellblade I dan Hellblade II. Watak utama dikisahkan terperangkap di alam Purgatory yang memanifestasikan kawasan kampung halaman zaman kanak-kanaknya. Berada di antara hidup dan mati, Senua memulakan misi ke alam afterlife untuk bersatu semula dengan insan tersayang yang telah terkorban dengan cara menyembuhkan luka-luka emosi dalam hidupnya. Treler permainan turut memaparkan motif gelombang emas yang melambangkan ancaman besar kepada pegangan serta identiti diri watak tersebut.

Proses pembangunan Senua bermula pada September 2024, beberapa bulan selepas pelancaran Hellblade II pada Mei 2024. Projek ini menggabungkan kesemua 85 tenaga kreatif Ninja Theory di bawah satu bumbung buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad sejak penghasilan DmC: Devil May Cry. Matthews turut mendedahkan bahawa keputusan telah diambil untuk menghentikan pembangunan projek seram Project Mara demi memberikan tumpuan penuh kepada penghasilan judul terbaharu ini. Pihak studio menyasarkan tempoh pembangunan yang optimum bagi membolehkan produk akhir dipasarkan dengan lebih kerap tanpa mengetepikan kualiti permainan.


