Permainan video survival dan action-adventure terbaru berjudul JOIN US dijadualkan untuk pelancaran pada musim luruh 2026 untuk PC. Dibangunkan oleh Wolf Haus Games, judul ini membolehkan pemain membina serta menguruskan sebuah kultus akhir zaman di kawasan luar bandar fiksyen yang dinamakan Bedford County, Amerika Syarikat. Semasa pelancaran kelak, permainan ini akan ditawarkan secara rasmi di platform Steam dan Epic Store, dengan pelan peluasan ke platform lain pada masa akan datang.
JOIN US menampilkan kempen naratif berdurasi antara 15 hingga 30 jam, di samping mod sandbox untuk pemain yang inginkan kebebasan mutlak. Pemain boleh memilih untuk bermain secara solo di luar talian, atau menyertai mod koperasi yang menyokong dua hingga empat pemain. Bagi mod koperasi, sesi permainan akan dikendalikan melalui sistem ‘peer-to-peer’ pada hari pelancaran, manakala sokongan pelayan khusus (sedang dirancang untuk peringkat pasca-pelancaran.
Dari segi mekanik permainan, JOIN US tidak menggunakan satu watak protagonis yang spesifik. Naratif penceritaan digerakkan oleh satu watak antagonis utama yang dikenali sebagai The Leader, yang akan memberikan pelbagai arahan kepada pemain. Pemain diberikan kebebasan untuk mengawal mana-mana pengikut di dalam kultus pada bila-bila masa, dan berpeluang merekrut atau mengorbankan mana-mana NPC yang wujud di dalam dunia terbuka tersebut. Membina pangkalan operasi juga adalah elemen penting, di mana pemain perlu bertempur dengan penternak tempatan, anggota polis, dan tentera bagi memastikan kelangsungan kultus mereka.


Permainan ini turut memperkenalkan Teaching system, iaitu sebuah skill tree dinamik yang membolehkan pemain mencorak sistem kepercayaan kultus mereka sendiri. Melalui sistem kemahiran ini, pemain boleh membuka pelbagai kebolehan unik yang akan mewujudkan tingkah laku yang tidak dijangka, termasuk kebolehan memandu semua jenis kereta dan menunggang mana-mana haiwan di dalam permainan.
Wolf Haus Games sebelum ini menerima dana pembiayaan bernilai C$4 juta pada tahun 2024 daripada syarikat penerbit permainan video KRAFTON Inc. serta firma modal teroka Lifelike Capital.


