Undead Labs telah mendedahkan treler tatamain pertama untuk State of Decay 3 di acara Xbox Games Showcase 2026. Permainan bergenre open-world survival sandbox ini disasarkan untuk pelancaran pada tahun 2027 dan disahkan bakal tersedia untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC, termasuk melalui platform Steam serta perkhidmatan langganan Game Pass pada hari pertama.

Pengarah Kreatif Undead Labs, Kevin Patzelt, mengesahkan bahawa keseluruhan visual di dalam treler tersebut diambil 100% daripada rakaman terus dalam permainan yang dibangunkan menggunakan enjin Unreal Engine 5, tanpa menggunakan CGI. Naskhah terbaharu ini membawakan saiz peta boleh main empat kali ganda lebih besar berbanding saiz satu peta di dalam State of Decay 2, di mana keseluruhan kawasan tersebut boleh diterokai sepenuhnya oleh pemain sejak awal permainan.

Sistem multi-pemain dalam siri ini telah dipertingkatkan melalui konsep perkongsian dunia dengan sokongan co-op sehingga empat pemain tanpa had jarak. Melalui sistem ini, mana-mana pemain boleh melakukan perubahan kepada dunia permainan secaraasynchronously, termasuk memajukan jalan cerita, membina kemudahan, dan menguruskan sehingga tiga penempatan pangkalan untuk membentuk sebuah rangkaian komuniti. Sistem Enclave atau kumpulan NPC juga diperluas, membolehkan pemain membina kepercayaan, menjalinkan pakatan, dan merekrut mereka ke dalam komuniti.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah “Plague Nests”, yang merupakan evolusi daripada mekanik Plague Hearts sebelum ini. Sistem ini bertindak sebagai hab musuh dinamik yang mempunyai pelbagai mod tingkah laku (personas) berbeza pada setiap sesi permainan. “Plague Nests” akan terus berkembang dan menyerang penempatan pemain secara automatik sekiranya tidak dimusnahkan, namun kawasan berisiko tinggi ini menyimpan ganjaran rampasan (loot) terbaik di dalam peta.

Sistem pertempuran turut dikemas kini secara menyeluruh dengan pengenalan dua butang serangan jarak dekat, iaitu quick attack dan power attack. Variasi musuh zombi mengekalkan barisan yang sama daripada State of Decay 2, namun diberikan pengkhususan tingkah laku yang berbeza mengikut tahap pereputan atau jenis perisai yang digunakan oleh zombi tersebut.

Bagi aspek kelangsungan hidup, sistem pembuatan senjata kini mengetengahkan konsep “maker culture” atau budaya DIY. Pemain boleh menemui atau mengubah suai senjata kitar semula, seperti parang yang diubah suai dengan bilah gergaji atau kimpalan besi rebar. Perubahan visual pada senjata ini memberi kesan langsung kepada fungsi permainan; sebagai contoh, senjata yang dipasang besi rebar mempunyai keupayaan memotong anggota badan zombi yang lebih tinggi, namun menggunakan lebih banyak stamina pemain.

Ujian awal versi Alpha kini sedang dijalankan secara terhad, dan pembangun merancang untuk memperluas fasa ujian tersebut ke fasa Beta secara berperingkat. Pemain yang berminat boleh melakukan pendaftaran melalui laman web rasmi StateofDecay.com untuk berpeluang menyertai sesi pandu uji sepanjang tahun ini.

Leave a Reply