Selepas setahun tanpa sebarang pengumuman, Asobo Studio telah mendedahkan tarikh pelancaran rasmi untuk Resonance: A Plague Tale Legacy iaitu pada 27 Ogos 2026. Diperlihatkan melalui treler baharu di Xbox Games Showcase, judul ini merupakan prekuel yang berlatarkan 15 tahun sebelum peristiwa dalam A Plague Tale: Innocence dan A Plague Tale: Requiem.

Permainan kali ini membawa peralihan besar kepada corak permainan francais tersebut. Berbanding watak utama sebelum ini yang bergantung kepada kelangsungan hidup, Resonance: A Plague Tale Legacy membawakan pengalaman action yang lebih langsung dan dinamik. Pemain akan mengawal Sophia, seorang pahlawan yang dibesarkan dalam kumpulan samseng paling berbahaya di Venice. Latar belakang ini melengkapkan dia dengan gaya pertempuran close quarters yang pantas, membenarkan pemain berdepan dengan senario pertempuran satu lawan ramai yang lebih agresif.

Dari segi naratif, jalan cerita utama tidak kekal di Venice. Sophia dan rakan karibnya, Leni, akan meninggalkan kota tersebut dan belayar menuju ke pulau Minotaur. Didorong oleh visi dari masa silam yang berkecamuk, Sophia pergi ke pulau tersebut untuk mencari jawapan mengenai kaitan dirinya dengan lokasi berkenaan. Pembangun mereka bentuk pulau ini sebagai sebuah labirin berskala besar yang memfokuskan kepada elemen puzzles dan exploration, di mana ia padat dengan laluan rahsia, misteri kuno, dan ujian maut.

Penceritaan prekuel ini akan mengembangkan lagi penceritaan mengenai sumpahan Macula yang menjadi teras kepada siri ini, di mana pemain akan merungkai kebenaran di sebalik mitos Minotaur dan berdepan dengan entiti misteri yang bersembunyi di pulau berkenaan.

Resonance: A Plague Tale Legacy akan dilancarkan untuk Xbox Series, dan PC. Permainan ini juga akan disertakan di dalam perkhidmatan langganan Game Pass pada hari pertama pelancaran dengan sokongan penuh fungsi Xbox Play Anywhere.

Leave a Reply