Obsidian ketika Summer Game Fest telah mengumumkan Grounded 2 bakal mengembangkan aksesnya ke platform PlayStation 5 pada 11 Ogos 2026. Pelancaran tersebut akan dilangsungkan serentak dengan pengenalan kemas kini kandungan utama baharu yang bertajuk “Into the Abyss”.
Kemas kini kandungan ini bakal membuka akses kepada kawasan kolam di Brookhollow Park, yang merangkumi persekitaran atas dan bawah air seperti Mountains, Bayou, serta kawasan lubuk dalam. Bagi memudahkan penerokaan di zon yang sebelum ini tidak boleh dimasuki, pemain boleh menggunakan sut menyelam untuk bertahan di bawah air dalam tempoh yang lebih lama.
Pihak pembangun menggunakan pengalaman daripada pembangunan permainan asal, Grounded, untuk merekabentuk semula sistem penerokaan bawah air ini. Menerusi kawasan kolam tersebut, makhluk seperti ikan koi dan labah-labah diving bell akan kembali membuat kemunculan. Selain itu, kenderaan amfibia baharu jenis ‘Buggy’ yang dikenali sebagai “Toe-biter” turut diperkenalkan bagi memudahkan pemain bergerak merentasi daratan dan air, sama ada untuk meneroka pesisir pantai mahupun melarikan diri daripada ancaman musuh.

Grounded 2 kini sedang berada dalam fasa pembangunan awal (Early Access/Game Preview). Selain daripada pelancaran akan datang di PlayStation 5, permainan ini sudah sedia dimainkan di platform Xbox Series dan PC melalui Steam. Judul ini juga ditawarkan menerusi perkhidmatan langganan Game Pass Ultimate dan PC Game Pass, termasuk sokongan ciri Xbox Play Anywhere yang membolehkan akses rentas peranti tanpa kos tambahan.


