Apple ketika pembukaan WWDC secara rasmi mendedahkan rangkaian alatan dan sumber baharu yang memfokuskan kepada pembangunan game serta aplikasi spatial. Langkah ini direka bagi memudahkan pembangun membawakan judul daripada platform PC ke peranti Apple termasuk peranti iOS, iPadOS, macOS, tvOS, dan visionOS.

Antara kemas kini utama ialah pengenalan Steam Asset Converter, sebuah alatan yang memudahkan proses adaptasi game PC untuk dijalankan di platform lain seperti macOS, tvOS, visionOS, serta peranti mudah alih (termasuk iOS dan iPadOS). Selain itu, fungsi Managed Background Assets kini dipertingkatkan dengan kebolehan mengenal pasti bahasa pilihan pemain secara automatik untuk memuat turun pek aset bahasa yang diperlukan sahaja, sekali gus mengurangkan saiz fail pemasangan asal game.

Bagi mempercepatkan proses pemindahan game ke sistem operasi Mac, Apple turut melancarkan Game Porting Toolkit 4. Kit pembangunan ini memperkenalkan keupayaan pengaturcaraan berasaskan ejen AI (agentic coding) sumber terbuka yang dilengkapi dengan panduan khusus Apple untuk pembangunan grafik Metal. Pembangun yang menggunakan enjin Unity juga kini menerima plug-in rasmi daripada Apple untuk menyokong ciri StoreKit dan Background Assets secara asli, membolehkan fungsi pembelian dalam aplikasi diintegrasikan terus dalam ekosistem kerja sedia ada.

Basi pembangunan aplikasi spatial pula, Reality Composer Pro 3 kini menyokong ciri Live Previews yang digabungkan bersama Mac Virtual Display. Ciri ini membolehkan pembangun melihat hasil suntingan pengalaman spatial secara langsung.

Selain fokus terhadap sektor game, Apple turut mengumumkan Xcode 27 yang membawakan sokongan ejen AI daripada Anthropic, Google, dan OpenAI secara langsung ke dalam aliran kerja pembangun. Xcode 27 kini 30 peratus lebih kecil dan mengehadkan operasinya kepada cip Apple silicon sahaja. Turut diperkenalkan adalah kerangka kerja Core AI yang dioptimumkan khas untuk Neural Engine bagi menjalankan model bahasa besar (LLM) secara tempatan pada peranti, serta kemas kini Foundation Models yang dibangunkan bersama Google melalui model Gemini.

Versi beta untuk pembangun bagi sistem operasi iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27, tvOS 27, visionOS 27, dan Xcode 27 kini mula ditawarkan melalui laman web pembangun Apple.

Leave a Reply