Sempena menyambut ulang tahun ke-25 perkakasan Xbox, sebuah koleksi edisi terhad yang menampilkan rekaan lut sinar berwarna hijau klasik atau dikenali sebagai ‘OG Green’ bakal dilancarkan pada bulan November ini. Reka bentuk ini diinspirasikan secara langsung daripada konsol generasi pertama Xbox.

Konsol yang dinamakan Xbox Series X25 Limited Edition ini mengekalkan spesifikasi model asal dengan kapasiti storan sebanyak 1TB. Perubahan utama tertumpu pada rekaan luaran di mana butang kuasa berbentuk “X” kini menyala dalam warna hijau, meniru paparan pemula konsol Xbox yang asal. Sebuah logo ulang tahun ke-25 turut diletakkan pada panel hadapan konsol bagi melengkapkan rekaan tersebut.

Koleksi ini turut dipadankan dengan Xbox Wireless Controller X25 Special Edition. Alat kawalan ini membawakan tema lut sinar yang sama, dengan bahagian penutup belakang dan ruang bateri yang telus untuk memperlihatkan logo klasik Xbox di bahagian dalam. Rekaan ini juga mengembalikan warna asal pada butang ABXY serta mengubah suai bumpers sebagai rujukan kepada rekaan butang hitam dan putih yang terdapat pada alat kawalan klasik “Duke”.

Konsol dan alat kawalan edisi terhad ini akan dipasarkan secara bersama dalam satu set pakej di pasaran-pasaran terpilih menjelang November. Selain daripada pakej tersebut, alat kawalan Xbox Wireless Controller X25 Special Edition juga akan dijual secara berasingan.

Harga jualan rasmi serta tarikh pembukaan pra-tempahan di peruncit terpilih masih belum diumumkan dan akan didedahkan pada tarikh yang akan datang.

Leave a Reply