Siri thriller terbaharu terbitan Australia, Last Seen, dijadualkan memulakan siarannya di platform Apple TV pada 9 September 2026. Siri sepanjang enam episod ini merupakan adaptasi daripada novel “The Dispatcher” tulisan Ryan David Jahn, yang pernah memenangi Anugerah CWA John Creasey Dagger.

Dua episod pertama siri ini akan mula distrim pada hari pelancaran, manakala episod seterusnya akan diterbitkan secara mingguan pada setiap hari Rabu sehingga 7 Oktober 2026.

Last Seen membawakan kisah Ian Ridley, seorang detektif polis yang kini bertugas sebagai penghantar kecemasan atau dispatcher. Kehidupan Ridley hancur selepas anak perempuannya, Maggie, hilang tanpa dikesan 11 tahun lalu. Ridley enggan menerima kenyataan bahawa anaknya telah tiada, dan tekadnya mula diuji apabila menerima satu panggilan kecemasan daripada seorang remaja perempuan yang diyakini ialah Maggie.

Watak Ian Ridley dijayakan oleh pemenang Anugerah Gotham, Patrick Brammall, yang sebelum ini pernah terlibat dalam filem The Devil Wears Prada 2. Barisan pelakon lain yang turut membintangi siri ini termasuk Maxine Peake, Brendan Cowell, Daniel Henshall, Jessica Wren, Zahra Newman, dan pelakon baharu Chloe Jean Lourdes.

Penggambaran siri ini dijalankan sepenuhnya di Victoria, Australia, di bawah arahan pengarah dicalonkan Anugerah Emmy, Christian Schwochow. Manakala skrip dan adaptasi pula dihasilkan oleh Kris Mrksa. Barisan penerbit eksekutif terdiri daripada Jamie Laurenson dan Hakan Kousetta daripada syarikat 60Forty Films, serta Joanna Werner daripada Werner Film Productions.

Bagi pasaran Malaysia, langganan platform Apple TV ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan dengan tempoh percubaan percuma selama tujuh hari untuk pengguna baharu.

Leave a Reply