Saya sentiasa menantikan kepulangan atau penceritaan kisah Frank Castle. Menerusi format “Special Presentation” televisyen Marvel yang berdurasi sekitar 44 hingga 51 minit, The Punisher: One Last Kill membawa kita kembali ke dunia gelap anti-hero ini. Diterajui oleh pengarah Reinaldo Marcus Green, dan mengambil latar masa di Little Sicily selepas musim pertama Daredevil: Born Again, naskhah ini menjanjikan satu penceritaan yang ringkas dan padat tanpa sebarang episod tambahan yang meleret tetapi pada masa sama tidak cukup untuk menyampaikan penceritaan yang ingin disampaikan.

Sebaik sahaja saya mula menonton, satu perkara menjadi sangat jelas. Jon Bernthal adalah pelakon paling sempurna untuk memegang watak The Punisher. Dalam persembahan yang boleh disifatkan sebagai pertunjukan satu orang, Bernthal memikul keseluruhan naskhah ini di atas bahunya. Dia berjaya menangkap intipati kemarahan Frank Castle, sambil pada masa yang sama menonjolkan sisi lain seorang watak yang masih trauma dan meratapi kehilangan keluarganya. Karisma beliau di atas skrin benar-benar memukau saya dan membuktikan betapa serasinya beliau dengan watak ini.
Dari sudut visual, keputusan untuk membawa masuk pemenang anugerah Oscar, Robert Elswit bagi mengendalikan sinematografi adalah satu langkah yang amat bijak. Naskhah ini kelihatan sangat cantik dengan tekstur yang kasar dan suram. Ia berjaya menterjemahkan keadaan minda Frank yang berkecamuk ke dalam bentuk visual, sekaligus membuatkan setiap babak aksi terasa lebih berat dan mendalam.
Bercakap tentang aksi, koreografi yang disajikan sememangnya bertaraf elit. Separuh masa kedua naskhah ini dipenuhi dengan adegan pertumpahan darah yang sangat kejam. Rentetan aksi tembak-menembak dan pertarungan jarak dekat di dalam sebuah kompleks pangsapuri kotor benar-benar memberikan pengalaman terbaik, akan tetapi terdapat beberapa CGI yang kelihatan agak janggal tetapi ia tidak menjadi masalah untuk saya.

Walau bagaimanapun, pengalaman tontonan saya sedikit terjejas oleh beberapa kelemahan yang ketara. Durasi tayangannya yang kurang daripada 50 minit terasa sangat singkat dan sedikit sebanyak merugikan penceritaan. Oleh kerana ia cuba mengimbangi kajian emosi watak dengan aksi tanpa henti, banyak detik penting terasa tergesa-gesa dan tidak lengkap. Saya merasakan naskhah ini sepatutnya dikembangkan menjadi sebuah filem penuh berdurasi sekurangnya dua jam untuk memberikan impak yang lebih memuaskan.
Akibat kekangan masa ini juga, perkembangan watak Frank terasa tersekat dalam gelung yang sama. Kita sekali lagi disajikan dengan babak dia bergelut dengan bayangan masa lalu, melihat halusinasi keluarganya yang telah mati, serta kemunculan rakan lama seperti Karen Page dan Curtis Hoyle yang membuatkan dia mempersoalkan misinya. Ia tidak membawa watak ini ke satu tahap yang baharu atau memberikan sudut pandang yang berbeza.
Selain itu, barisan pelakon pembantu turut menjadi mangsa keadaan. Judith Light memberikan lakonan yang sangat baik sebagai Ma Gnucci, tetapi dia hampir tidak diberikan ruang untuk berkembang sebelum cerita beralih pantas ke babak lain. Kebanyakan watak sampingan dan jalan cerita secara asasnya sekadar wujud sebagai alasan untuk membawa Frank ke sasaran yang seterusnya.

Akhir kata, The Punisher: One Last Kill adalah satu naskhah aksi yang sangat menawan dari segi visual dan menggunakan bakat mentah Jon Bernthal dengan sebaiknya. Walaupun durasinya yang terlampau pendek memaksa cerita ini mengitar semula emosi yang sudah biasa kita lihat berbanding mengembangkan wataknya, kualiti aksi melampau yang dipaparkan menjadikan ia satu tontonan yang sangat berbaloi. Ia mungkin agak nipis pada jalan cerita, tetapi ia padat dengan pertumpahan darah yang saya rasakan apa yang diinginkan oleh peminat The Punisher.


