Apple Arcade bakal membawakan watak-watak daripada siri animasi Bluey melalui satu acara rentas siri untuk masa terhad yang melibatkan lima permainan sedia ada bermula 21 Mei ini. Selain pengenalan kandungan tersebut, perkhidmatan langganan itu turut dijadualkan menambah empat judul permainan baharu ke dalam katalognya pada 4 Jun hadapan.

Acara rentas ini menampilkan kemas kini khusus untuk Crossy Road Castle, stitch., puffies., Suika Game+, dan Disney Colouring World+. Dalam Crossy Road Castle, pemain boleh mencuba halangan di rumah watak Bluey dan Bingo dengan sokongan co-op sehingga empat pemain. Menariknya, pemain yang berjaya menyahkunci rumah tersebut boleh terus menyimpannya di dalam permainan walaupun selepas acara berkenaan tamat.

Untuk judul lain, pemain boleh memadankan buah dalam Suika Game+, melengkapkan corak dalam stitch., dan mewarna dalam Disney Colouring World+. Acara bagi puffies. pula dijangka bermula pada 10 Jun yang menampilkan teka-teki dan pengumpulan pelekat. Acara ini akan berakhir secara berperingkat; 24 Jun untuk stitch.; 8 Julai bagi puffies. ; dan 21 Julai untuk Crossy Road Castle, Suika Game+, serta Disney Colouring World+.

Bagi penambahan katalog bulan Jun, Apple Arcade menyertakan Mini Football Legends, sebuah judul bergenre arked bola sepak yang membolehkan pemain mengurus pasukan dan bersaing dalam mod solo, local co-op, serta perlawanan multipemain. Turut menyertai platform tersebut pada 4 Jun ialah My Talking Tom 2+, sebuah permainan virtual pet daripada pencipta My Talking Angela 2+ dan Talking Tom Blast Park ; permainan simulasi perniagaan Coffee Inc 2+ ; serta FreeCell Solitaire: Card Game+ untuk peminat classic card games.

Kesemua penawaran di Apple Arcade tidak mengandungi sebarang paparan iklan mahupun pembelian dalam aplikasi. Langganan perkhidmatan ini berharga RM29.90 sebulan dan boleh dikongsi bersama sehingga enam ahli keluarga. Judul di bawah senarai Arcade Originals boleh dimainkan merentas peranti iPhone, iPad, Mac, Apple TV, dan Apple Vision Pro. Sementara itu, siri App Store Greats terhad pada iPhone, iPad, dan Apple Vision Pro. Pembeli peranti baharu Apple juga layak menerima akses Apple Arcade secara percuma selama tiga bulan.

Leave a Reply