Permainan Action RPG dunia terbuka, The Blood of Dawnwalker, dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada 3 September 2026. Dibangunkan oleh studio Rebel Wolves menggunakan Unreal Engine 5 dan diterbitkan oleh Bandai Namco, judul ini akan tiba di platform PlayStation 5, Xbox Series, serta PC melalui Steam. Pra-tempahan kini telah dibuka secara rasmi melalui saluran digital dan di kedai-kedai permainan fizikal terpilih.

Berlatarkan Eropah pada abad ke-14 ketika penularan wabak ‘Black Death’, pemain akan mengawal watak bernama Coen, seorang “Dawnwalker” yang memiliki keupayaan separuh manusia dan separuh pontianak. Objektif utama Coen adalah berjuang untuk menyelamatkan keluarganya daripada Brencis, seorang raja pontianak yang menguasai wilayah misteri Vale Sangora di Pergunungan Carpathian. Keputusan yang dibuat oleh pemain sepanjang penjelajahan akan memberi kesan langsung kepada keseimbangan kuasa di kawasan tersebut serta mengubah trajektori penceritaan.
Dalam acara “Road to Launch” yang dianjurkan baru-baru ini, pihak pembangun mempamerkan lebih 10 minit rakaman corak permainan versi PC yang memfokuskan kepada aktiviti dunia terbuka yang didorong oleh naratif. Pembangun turut mendedahkan penglibatan bekas juara UFC, Jan Błachowicz, yang menyumbang kepakaran seni beladirinya melalui motion capture. Błachowicz melakonkan aksi untuk watak antagonis bernama Bakir, bagi memastikan setiap serangan dan tumbukan di dalam pertempuran jarak dekat kelihatan lebih realistik dan mempunyai impak yang berat.
Pihak Rebel Wolves turut berkongsi butiran mengenai edisi permainan yang bakal ditawarkan di pasaran. Selain Edisi Standard dan Day One, pemain boleh mendapatkan Edisi Eclipse secara digital yang menyertakan bonus tambahan seperti kompendium dunia, runut bunyi, dan buku komik. Edisi fizikal Collector’s Edition juga turut ditawarkan untuk peminat.


