Divisyen permainan video Microsoft secara rasminya menggugurkan penjenamaan ‘Microsoft Gaming’ untuk kembali kepada nama asalnya, Xbox. Perubahan struktur ini diumumkan melalui satu memo kepada pekerja Team Xbox serata dunia oleh Asha Sharma Ketua Xbox dan Matt Booty merangkap Ketua Pegawai Kandungan.

Mereka juga berkongsi lanjut mengenai Project Helix yang diumumkan sebelum ini. Projek ini dibangunkan sebagai platform berprestasi tinggi yang membolehkan pengguna memainkan kedua-dua permainan konsol dan PC secara terus. Selain perkakasan baharu ini, Xbox akan menumpukan usaha untuk menstabilkan asas perkakasan generasi kesembilan (Gen9) sedia ada dan mengembangkan aksesori peribadi berprestasi tinggi. Dari segi perkhidmatan, syarikat sedang merombak struktur Game Pass untuk mencapai model ekonomi yang lebih mampan sambil memfokuskan kepada keupayaan permainan awan yang lebih pantas dan stabil merentasi televisyen pintar serta peranti kos rendah.

Memo tersebut secara terbuka menyenaraikan pelbagai masalah yang melanda ekosistem Xbox pada masa kini. Pihak pengurusan mengakui bahawa pemain semakin kecewa akibat kekurangan kemas kini ciri baharu pada konsol, prestasi penawaran PC yang lemah, serta tanda harga yang menyukarkan pengguna. Tambahan pula, pengalaman asas ekosistem seperti fungsi carian, penemuan permainan, dan ciri sosial diakui masih terlalu berpecah-belah, manakala pihak pembangun pula terus menuntut alat sokongan dan data analitikal yang lebih baik.

Sebagai tindak balas kepada perubahan landskap industri, Xbox kini menetapkan jumlah pemain aktif harian sebagai sasaran utama perniagaan mereka. Syarikat merancang untuk meluaskan pengaruh ke pasaran China, demografi mudah alih, serta memfokuskan pertumbuhan jangka panjang bagi kategori live games. Xbox juga akan memberi penekanan kepada platform yang bertumpukan pencipta kandungan seperti Minecraft, The Elder Scrolls, dan Sea of Thieves, dengan mengambil contoh skala kejayaan yang dicapai oleh Roblox.

Di peringkat korporat, mereka menggariskan perombakan budaya kerja yang menuntut kepantasan dan disiplin kos yang ketat. Syarikat juga akan menggunakan kaedah penggabungan dan pengambilalihan untuk memacu pertumbuhan di pasaran yang perlahan. Dalam masa yang sama, Xbox sedang menilai semula pendekatan asas mereka terhadap terbitan eksklusif platform, strategi tempoh pelancaran, serta integrasi teknologi kecerdasan buatan.

Leave a Reply