Prime Video hari ini mengumumkan bahawa musim kedua siri Citadel akan mula disiarkan pada 6 Mei 2026. Kesemua tujuh episod bagi musim terbaharu ini akan disiarkan secara serentak. Bersama dengan pengumuman tarikh siaran ini, Prime Video turut melancarkan treler rasmi untuk musim kedua siri tersebut.
Musim baharu ini mengekalkan teraju utamanya iaitu Richard Madden, Priyanka Chopra Jonas, dan Stanley Tucci yang masing-masing kembali memainkan peranan sebagai ejen operasi Mason Kane, Nadia Sinh, dan Bernard Orlick. Barisan pelakon bagi musim ini turut diperluaskan dengan kehadiran Jack Reynor sebagai Hutch, Matt Berry sebagai Franke Sharpe, dan Lina El Arabi sebagai Celine. Selain itu, Merle Dandridge, Gabriel Leone, dan Rayna Vallandingham disahkan sebagai pelakon tambahan baharu yang menyertai produksi ini, di samping kepulangan pemeran dari musim pertama seperti Lesley Manville dan Ashleigh Cummings.
Penceritaan musim kedua bermula apabila satu ancaman baharu muncul, memaksa Mason, Nadia, dan Bernard untuk kembali memulakan operasi. Mereka perlu merekrut satu pasukan baharu bagi menjalankan misi berskala global untuk menghentikan sebuah konspirasi yang mengancam kemanusiaan. Kumpulan ini sekali lagi perlu berhadapan dengan Manticore, sebuah sindiket kejam yang mendapat sokongan daripada keluarga-keluarga paling berkuasa di dunia.



Siri Citadel merupakan hasil terbitan Amazon MGM Studios bersama AGBO, syarikat produksi milik Russo Brothers. David Weil menggalas tanggungjawab utama produksi sebagai ‘showrunner’, pengarah, dan penerbit eksekutif. Anthony Russo, Angela Russo-Otstot, dan Scott Nemes dari AGBO turut bertindak sebagai penerbit eksekutif, manakala Joe Russo dan Greg Yaitanes memegang peranan sebagai pengarah serta penerbit eksekutif. Kerja penerbitan ini turut dibantu oleh barisan penerbit eksekutif dari Midnight Radio seperti Josh Appelbaum, André Nemec, Jeff Pinkner, dan Scott Rosenberg.


