Pengguna di Malaysia kini boleh mendapatkan komputer riba yang dilengkapi dengan pemproses Intel Core Ultra Series 3 yang baharu. Cip pemprosesan terkini ini mula ditawarkan di pasaran tempatan melalui rekaan peranti daripada pelbagai pengeluar utama termasuk ASUS, Acer, Dell, HP, Lenovo, dan MSI.

Diumumkan buat pertama kali pada pameran CES 2026, pemproses ini dibina berasaskan proses pembuatan Intel 18A. Cip ini memfokuskan kepada beban kerja kecerdasan buatan (AI) terus pada peranti dengan mengintegrasikan Unit Pemprosesan Pusat (CPU), Unit Pemprosesan Grafik (GPU), dan Unit Pemprosesan Neural (NPU). Secara teknikal, NPU pada cip ini mampu menyalurkan kuasa komputasi AI sehingga 50 TOPS, manakala GPU dikuasakan oleh seni bina grafik Xe3. Secara global, lebih daripada 200 rekaan komputer riba dijangka akan menggunakan siri pemproses ini sepanjang tahun 2026.


Selain daripada model premium Ultra, Intel turut memperkenalkan siri pemproses Intel Core Series 3 yang disasarkan kepada pengguna dalam segmen harga yang lebih mampu milik seperti pelajar dan perniagaan kecil. Sama seperti model Ultra, siri ini juga dihasilkan menggunakan proses pembuatan Intel 18A. Cip pemprosesan ini menyokong ciri sambungan moden seperti Thunderbolt 4, Wi-Fi 7, dan Bluetooth 6, serta mampu memberikan tahap prestasi platform sehingga 40 TOPS untuk kegunaan AI.
Berdasarkan data yang dikeluarkan, siri asas ini menawarkan peningkatan prestasi utas tunggal sehingga 47 peratus dan prestasi berbilang utas sehingga 41 peratus berbanding sistem komputer yang berusia lima tahun. Prestrasi AI pada GPU juga mencatatkan peningkatan sehingga 2.8 kali ganda. Intel menjangkakan lebih daripada 70 rekaan peranti global akan dilancarkan menggunakan Intel Core Siri 3 ini.


Pengurus Besar Kumpulan Jualan Asia Tenggara, Australia dan New Zealand bagi Intel Corporation, George Chacko, merumuskan bahawa cip generasi baharu ini dibina untuk menyediakan platform yang lebih cekap dengan menggabungkan prestasi dan keupayaan AI secara langsung untuk kegunaan komputasi harian.


