Permainan peranti pintar PUBG MOBILE menyambut ulang tahun kelapannya dengan acara berskala global yang melibatkan pemecahan Rekod Dunia Guinness di Indonesia serta penganjuran acara di tapak bersejarah Piramid Giza, Mesir. Sambutan ini juga menandakan fasa baharu permainan tersebut yang kini berkembang melangkaui sekadar genre battle royale.

Di rantau Asia Tenggara, festival “8EYOND THE CIRCLE” di Surabaya, Indonesia merekodkan kehadiran lebih 100 ribu pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya. Acara ini mencatatkan Rekod Dunia Guinness peringkat kebangsaan melalui persembahan 2,000 dron, yang merupakan paparan dron terbesar pernah diadakan di negara tersebut. Festival tersebut turut menjana lebih 800 juta tontonan di platform media sosial.

Di Kaherah, Mesir, sebuah zon pengalaman seluas lebih 10 ribu meter persegi didirikan di hadapan Piramid Giza yang menarik kehadiran lebih lima ribu pengunjung. Acara di mercu tanda ini memaparkan persembahan artis termasuk penyanyi rap Mesir Wegz, kumpulan tarian The Mayyas, dan DJ Mahmut Orhan. Sementara itu di Turkiye, acara sambutan ulang tahun utama diadakan pada 27 Mac yang melibatkan acara di empat bandar berbeza. Acara sekitar Istanbul diperluaskan lagi dengan pertunjukan cahaya 3D di Menara Galata serta persembahan muzik orkestra secara langsung yang memainkan lagu lobi permainan tersebut.

Sambutan ini turut diperluaskan ke Bandar Raya Mexico melalui unjuran visual permainan pada bahagian luar Muzium Soumaya, manakala di Pakistan, kolaborasi dijalankan bersama bintang kriket PSL dan penyanyi rap Faris Shafi.

Bagi menyatukan komuniti pemain dari seluruh dunia, PUBG MOBILE memperkenalkan lagu tema 2026 berjudul “LEAN” nyanyian OneRepublic, di samping penawaran kandungan dalam permainan yang melibatkan kolaborasi bersama MrBeast, BamBam, dan MINNIE. Bersempena sambutan lapan tahun ini, mod permainan bertema “Evolving Universe” juga telah diperkenalkan kepada para pemain.

Leave a Reply