PUBG Mobile bersama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengumumkan Memorandum Persefahaman (MoU) baharu yang ditandatangani pada 17 April 2026, yang memfokuskan kepada pembangunan bakat dalam industri permainan video, esukan, dan digital.

Kerjasama ini membuka pelbagai laluan langsung kepada pelajar universiti tersebut yang merangkumi penempatan pengajian akademik, program latihan industri, serta inisiatif penyelidikan bersama. Perjanjian ini secara khusus bermatlamat untuk menawarkan pengalaman pembelajaran dan pembangunan kerjaya dalam industri ini.

Bagi menyokong pembangunan bakat di luar bilik darjah, kelab esukan rasmi akan ditubuhkan bagi membolehkan penganjuran aktiviti interaktif dan kejohanan untuk membina kemahiran pelajar. Kempen berasingan juga akan digerakkan bagi membimbing dan menyokong pencipta kandungan dari kalangan pelajar yang berminat untuk membina nama di dalam ekosistem digital.

UiTM dan PUBG MOBILE juga akan berkolaborasi untuk menganjurkan simposium, persidangan, serta kursus pendek bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pengajaran dan pembangunan pelajar.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata kerjasama ini bertujuan mengembangkan skop pembelajaran melangkaui kaedah tradisional untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri baharu.

Pengurus Produk PUBG MOBILE Malaysia, Ashley Phuah, menambah bahawa langkah jangka panjang ini bertujuan untuk membantu pelajar mempraktikkan kemahiran mereka bagi membina kerjaya yang mampan di dalam sektor ekonomi digital.

Majlis menandatangani MoU itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan. Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Prof Datuk Ts. Dr. Shahrin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Bin Shahibi bagi pihak universiti, manakala PUBG MOBILE diwakili oleh Pengarah Penerbitan Asia Tenggara, Rex Wang bersama Ashley Phuah.

PUBG MOBILE merupakan judul yang dibangunkan bersama oleh LIGHTSPEED STUDIOS dari Tencent Games dan KRAFTON, Inc.. Ia dibina berdasarkan permainan asal PUBG: BATTLEGROUNDS yang menampilkan konsep di mana pemain perlu bertempur dan menewaskan pesaing lain di dalam sebuah pulau dengan zon permainan yang semakin mengecil.

Leave a Reply