Siri terbaru di Prime Video, Young Sherlock menerima sentuhan Guy Ritchie sebagai penerbit eksekutif dan juga pengarah untuk episod awal, walaupun begitu, ini bukanlah siri kesinambungan ataupun prekuel kepada filem Sherlock Holmes arahan beliau yang dibintangi oleh Robert Downey Jr. sebaliknya ini merupakan siri yang mengadaptasi siri buku berjudul sama yang ditulis oleh Andrew Lane, namun ia membawa satu penceritaan tersendiri dan bukan mengambil daripada mana-mana siri buku tersebut.

Di dalam siri ini, Sherlock Holmes lakonan Hero Fiennes Tiffin berumur 19 tahun, dan dia hadir daripada satu keluarga yang boleh dikatakan ‘rosak’. Selepas kematian adik perempuannya sewaktu mereka kecil, ibunya berulang kali masuk ke wad mental manakala bapanya lebih memfokuskan untuk melakukan kerjanya. Membiarkan Sherlock Holmes membesar sendiri. Dia merupakan seorang yang pintar, tetapi sangat ingin tahu sehinggakan termasuk juga berlatih menyeluk saku sehingga ditangkap dan berada di penjara.

Satu-satunya yang prihatin dengannya adalah abangnya Mycroft Holmes lakonan Max Irons yang sudah bekerja dengan kerajaan. Selepas dia membawa Sherlock keluar daripada penjara, dia meminta untuk Sherlock bekerja di Oxford University sebagai orang suruhan. Mycroft juga mempunyai tugasan di universiti tersebut melibatkan salah seorang pensyarah di sana. Di universiti inilah Sherlock bertemu dengan James Moriarty (Donal Finn) dengan kedua-dua mereka sangat bijak, ia tidak mengambil masa yang lama untuk mereka menjadi sahabat yang rapat.

Salah seorang pelajar di universiti itu juga ialah Puteri Gulun Shou’an iaitu puteri dari China yang hadir untuk belajar, akan tetapi selepas satu barangnya hilang, Sherlock telah menjadi suspek utama kerana dia memiliki kunci untuk ke tempat tersebut. Tiada pilihan, Sherlock bersama dengan Moriarty terpaksa mencari siapa sebenar yang mencurinya, tetapi siasatan mereka berubah menjadi sesuatu yang lebih gelap apabila Sherlock kemudian dituduh pula membunuh pensyarah.

Secara keseluruhannya, siri ini mempunyai satu gaya yang sudah menjadi kebiasaan untuk Guy Ritchie, ia bergerak pantas, dengan pelbagai dialog yang panjang dan juga adegan aksi dan pertempuran yang dilakukan dengan gaya tersendiri. Jika anda menyukainya, anda akan menyukai siri ini, dan saya boleh katakan sangat menghargai pembawaan yang dipilih.

Namun, bagi saya perkara utama yang menguatkan siri ini adalah wataknya. Setiap watak yang hadir mempunyai lapisan dan misteri yang tersendiri, dan setiap mereka diberi peluang untuk berkembang dengan baik. Ia bukan sahaja watak Sherlock tetapi watak Moriarty, Mycroft, Shou’an dan beberapa lagi, bahkan saya boleh katakan yang Sherlock mungkin watak yang paling lemah. Dia seorang yang pintar tetapi masih tidak pasti dengan apa yang ingin dilakukannya, dia juga tidak dapat menggunakan kepintarannya dengan sepenuhnya kerana boleh dikatakan masih ‘mentah’.

Saya mengharapkan wataknya akan berkembang selepas siri ini memasuki episod-episod seterusnya, tetapi saya boleh katakan wataknya kekal sama sehinggalah episod akhir. Sebaliknya watak seperti Moriarty lebih menarik kerana dia lebih yakin dan tahu bagaimana untuk gunakan kepintarannya. Ini menjadikan wataknya terasa lebih menarik, namun perhubungan di antara Sherlock dan Moriarty masih satu perkara yang kuat di dalam siri ini dan perkembangan kedua-dua watak membantu untuk memberi lapisan tambahan kepada penceritaan dan tarikan bagi siri ini.

Manakala bagi bahagian misteri pula, ia dilakukan dengan menarik dan setiap misteri yang terungkai dilakukan dengan baik membuatkan penceritaan kian berkembang, namun terdapat beberapa misteri yang terungkai dengan secara kebetulan sahaja yang bagi saya sedikit mengecewakan tetapi ia tidak menjejas keseluruhan misteri tersebut. Setiap misteri ini membuatkan saya terus ingin terus menonton episod-episod yang berikutnya, tetapi oleh kerana misteri ini tidak lah juga sepenuhnya dirungkai oleh Sherlock, ada masa ia sedikit menjengkelkan melihat Sherlock tidak dapat melihat misteri tersebut walaupun saya sebagai penonton sudah dapat menjangkakannya.

Akhir kata, Young Sherlock satu siri misteri yang seronok untuk ditonton, perhubungan di antara watak Sherlock dan Moriarty yang agak berlainan dengan kebiasaan yang kita tahu mengenai mereka terasa lebih segar dan menjadi kekuatan utama bagi siri ini. Bahagian misteri juga menarik tetapi Sherlock menjadi watak yang paling kurang menyerlah di dalam siri serba sedikit mengganggu pengalaman tontonan, tetapi ia mungkin akan memberikan sesuatu yang lebih baik jika siri ini menerima musim baharu di masa depan ataupun masa terdekat ini.

Kesemua lapan episod Young Sherlock akan disiarkan di Prime Video pada 4 Mac 2026.

Young Sherlock
Satu siri misteri yang seronok untuk ditonton, perhubungan di antara watak Sherlock dan Moriarty yang agak berlainan dengan kebiasaan yang kita tahu mengenai mereka terasa lebih segar dan menjadi kekuatan utama bagi siri ini walaupun watak Sherlock sendiri terasa lemah.
Positif
Sherlock dan Moriarty terasa segar
Gaya penyampaian yang baik
Misteri yang menarik
Negatif
Sherlock kurang menyerlah
Ada misteri terungakai dengan terlalu mudah
8

Leave a Reply

Final Score