Dunia ciptaan George R. R. Martin menerusi A Song of Ice and Fire sentiasa dikenali dengan kisah dan susur galur watak yang amat kaya merentasi pelbagai kerajaan. Sejak bermulanya siri Game of Thrones sehinggalah House of the Dragon, adaptasi televisyen dunia ini sering disinonimkan dengan naratif epik yang sarat dengan konflik peperangan berdarah dan kelicikan plot politik.

Namun, apabila saya mula menonton siri terbaharu francais ini, A Knight of the Seven Kingdoms, saya mendapati ia mengambil haluan yang jauh berbeza, namun, tidak kurang hebatnya bahkan menjadi kekuatan utama untuknya.

Siri ini masih berlatarkan dunia yang sama, tetapi penceritaannya disampaikan dengan gaya yang jauh lebih santai. Harus saya tegaskan, ia bukanlah sebuah siri sepenuhnya komedi, apatah lagi sebuah naskhah picisan yang kosong. Ia berjaya mengimbangi tona penceritaan agar tidak terlalu berat untuk dihadam, sambil masih mengekalkan babak-babak dramatik yang mendalam dan beremosi. Jika inginkan konflik di antara putera raja, siri ini masih menyertakannya, dengan kata lain ia lengkap dengan resipi siri francais ini tetapi dengan adunan yang lebih menarik.

Perubahan identiti ini benar-benar membuatkan musim pertama siri ini terasa sangat segar. Secara peribadi, saya berani mengatakan bahawa ini merupakan antara penceritaan terbaik pernah dihasilkan oleh francais ini, berkemungkinan setaraf dengan kualiti era kegemilangan Musim 3 dan Musim 4 Game of Thrones.

Penceritaan siri ini mengecilkan skopnya dengan memfokuskan kepada seorang hedge knight atau kesatria tak bertanah bernama Ser Duncan (lakonan Peter Claffey). Selepas pemergian tuannya, Ser Arlan of Pennytree, Duncan bertekad besar untuk membuktikan kehebatannya sebagai seorang kesatria yang dihormati. Langkah pertamanya adalah dengan menyertai sebuah kejohanan pertarungan di Ashford.

Di pertengahan jalan, kisahnya mula berkembang apabila Duncan bertembung dengan seorang kanak-kanak petah bercakap yang hanya dikenali sebagai Egg (Dexter Sol Ansell). Kedegilan Egg yang berkeras mahu menjadi squire atau pembantu kepada Duncan akhirnya memaksa kesatria itu menerimanya.

Bagi saya, kekuatan dan nadi sebenar siri ini terletak pada evolusi hubungan antara Duncan dan Egg. Keserasian mereka menyuntik elemen kemanusiaan yang sangat intim ke dalam siri ini. Dinamik ini kemudiannya diangkat ke satu tahap yang lebih menarik apabila identiti sebenar Egg akhirnya didedahkan kepada penonton.

Satu lagi elemen yang menjadi kekuatan siri ini, walaupun mungkin terdapat penonton yang tidak bersetuju, adalah durasi setiap episodnya. Berbeza dengan kelaziman siri drama epik lain yang memakan masa hampir sejam, setiap episod A Knight of the Seven Kingdoms berdurasi lebih kurang 30 minit sahaja.

Saya mendapati keputusan ini sangat bijak. Setiap minit diisi dengan naratif yang padat tanpa sebarang babak meleret, dan sentiasa diakhiri dengan cliffhanger yang berjaya memancing perasaan teruja untuk terus menonton. Walaupun siri ini pada asalnya disiarkan secara mingguan, kini dengan kesemua episod telah pun tersedia, saya amat mengesyorkan pengalaman menonton secara maratonton. Ia benar-benar memaksimumkan kepuasan tontonan.

Siri ini telah pun disahkan akan menerima musim kedua. Apa yang bermain di fikiran saya kini adalah sama ada kesinambungan ceritanya kelak akan beralih kepada konflik yang lebih rumit, atau terus setia kepada konsep asalnya.

Saya amat berharap agar pendekatan yang lebih santai ini dikekalkan. Ia bukan sekadar menawarkan kesegaran yang sangat diperlukan untuk karya-karya adaptasi Game of Thrones, malah ia merupakan satu siri yang berani tampil menonjol di tengah-tengah lambakan siri televisyen bergenre berat pada masa kini.

Kesemua episod A Knight of the Seven Kingdoms sudah tersedia di HBO Max.

A Knight of the Seven Kingdoms
Satu siri di dalam dunia Game of Thrones yang segar daripada wataknya dan juga gaya penyampaian penceritaanya. Walaupun disampaikan dengan lebih santai, tetapi tetap membawa kisah yang penuh dengan politik dan plot yang diharapkan di dalam siri dunia ini. Satu pengalaman yang lengkap dan antara musim terbaik di dalam francais ini.
Positif
Kisah Duncan dan Egg yang menarik
Penyampaian penceritaan yang berkesan
Komedi, drama cukup lengkap
Negatif
Durasi episod pendek (?)
10

2 Comments

Leave a Reply

Final Score