Astro bakal melakukan perubahan besar terhadap penawaran kandungan filem dan pek “Astro One Epic” bermula bulan depan. Syarikat penyiar tersebut mengumumkan pelancaran empat saluran baharu bagi menggantikan penstrukturan semula kandungan sedia ada, yang turut menyaksikan penamatan saluran linear jenama HBO di platform tersebut.

Bermula 1 Mac 2026, saluran linear di bawah jenama HBO, termasuk HBO HD, Cinemax HD, HBO Family, dan HBO Hits tidak lagi akan tersedia di platform Astro. Langkah ini diambil susulan perubahan model kerjasama antara Astro dan Warner Bros. Discovery (WBD).

Walaupun saluran siaran langsung ini ditamatkan, aplikasi HBO Max akan terus tersedia untuk pelanggan Astro sebagai langganan a la carte yang berasingan. Bagi pelanggan sedia ada yang mahu meneruskan akses kepada kandungan HBO Originals dan filem blokbuster, mereka perlu melanggan HBO Max sebagai tambahan dengan harga bermula RM24.90 sebulan. Tiada perubahan akan berlaku bagi pelanggan yang sudah melanggan HBO Max sebagai add-on semasa.

Bagi memastikan kelangsungan kandungan, Astro akan melancarkan tiga saluran baharu pada 1 Mac 2026, diikuti oleh satu lagi saluran pada 1 April 2026. Saluran-saluran ini akan dimasukkan ke dalam Pek Movies dan Astro One Epic.

Senarai saluran baharu adalah seperti berikut:

  • Astro Showtime (CH 411) – Bermula 1 Mac 2026 Saluran ini memfokuskan kepada filem blockbuster Hollywood. Antara tajuk pelancaran termasuk Violent Night, Jurassic World Dominion, Beast, dan Snow White and the Huntsman
  • Rock Action (CH 414) – Bermula 1 Mac 2026 Menggantikan segmen aksi, saluran ini akan menayangkan filem seperti Godzilla Minus One, Miami Vice, trilogi Rambo, Ghostbusters, dan Captain Phillips
  • Rock X Stream (CH 415) – Bermula 1 Mac 2026 Saluran ini dikhaskan untuk siri premium dan kandungan bertaraf “prestige TV” seperti Mr. Robot, Black Sails, See, dan Nine Bodies in a Mexican Morgue
  • Astro FAM Time (CH 412) – Bermula 1 April 2026 Saluran berorientasikan keluarga ini akan menyiarkan filem animasi dan hiburan umum seperti Puss in Boots: The Last Wish, Minions: The Rise of Gru, dan Johnny English Reborn

Pelanggan Pek Movies dan Astro One Epic akan terus menikmati akses kepada aplikasi penstriman lain seperti Prime Video dan Disney+ tanpa kos tambahan, di samping saluran sedia ada seperti HITS Movies HD (CH 401) dan Astro Showcase (CH 413).

Astro One Epic Pack ditawarkan pada harga RM199.99 sebulan. Manakala pakej permulaan Astro One Packs kini tersedia bermula dari RM49.99.

Leave a Reply