Selepas kejayaan fenomena siri The Last of Us, pencipta bersamanya, Craig Mazin, kini beralih arah ke satu lagi gergasi dunia permainan video. HBO dilaporkan sedang membangunkan siri drama berdasarkan Baldur’s Gate, dengan Mazin bakal bertindak sebagai penulis, penerbit eksekutif, dan showrunner bagi projek adaptasi tersebut.

Apa yang membezakan projek ini daripada adaptasi lain adalah pendekatan penceritaanya. Berbeza dengan The Last of Us yang mengolah semula plot permainan asal untuk kaca TV, siri Baldur’s Gate ini akan bertindak sebagai susulan langsung. Kisahnya akan bermula sejurus selepas peristiwa dalam Baldur’s Gate 3 berakhir, meneroka kesan dan akibat daripada kejadian dalam permainan video popular tersebut.

Menurut laporan Deadline, siri ini akan menampilkan gabungan watak-watak sedia ada dari permainan video dan juga watak-watak baharu. Mengikut tradisi Dungeons & Dragons (D&D), fokus utama akan diberikan kepada watak-watak baharu yang memulakan perjalanan mereka tanpa kuasa besar, dan perlahan-lahan membina kekuatan melalui pengembaraan mereka.

Walau bagaimanapun, perjalanan mereka tidak akan sunyi daripada kehadiran ikon-ikon Baldur’s Gate 3. Watak-watak asal dari permainan, sama ada wira, penjahat, atau “devils” kini telah menjadi entiti yang sangat berkuasa di dunia tersebut. Mereka dijangka akan memainkan peranan penting dalam “mengganggu” perjalanan wira-wira baharu ini, sama ada dengan menghulurkan bantuan atau menjadi penghalang.

Keputusan Mazin untuk mengadaptasi tajuk ini didorong oleh minat mendalamnya sendiri. Beliau bukan sahaja peminat D&D yang telah bermain secara mingguan selama 15 tahun, malah telah menamatkan Baldur’s Gate 3 dalam mod “Honor” yang amat mencabar.

“Selepas menghabiskan hampir 1,000 jam dalam dunia Baldur’s Gate 3, ia adalah satu impian jadi nyata untuk menyambung kisah yang dicipta oleh Larian dan Wizards of The Coast,” kata Mazin. Projek ini turut mendapat sentuhan pakar D&D apabila Chris Perkins, bekas Ketua Penceritaan di Wizards of the Coast, dilantik sebagai konsultan.

Memandangkan tiada permainan Baldur’s Gate baharu yang sedang dalam pembikinan, Mazin diberikan kebebasan kreatif sepenuhnya untuk menentukan hala tuju cerita. Siri ini direka untuk bersifat berterusan dengan pelbagai jenis cerita dalam dunia yang luas tersebut, berbeza dengan The Last of Us yang dijangka tamat selepas musim ketiga.

Buat masa ini, Mazin sedang dalam persiapan akhir untuk musim ketiga The Last of Us, dan Baldur’s Gate dijadualkan menjadi siri susulan beliau di HBO. Beliau juga merancang untuk menghubungi pelakon suara asal permainan Baldur’s Gate 3 bagi membincangkan potensi penglibatan mereka dalam siri TV ini.

Larian Studios yang membangunkan permainan tersebut dijangka tidak akan terlibat di dalam penghasilan siri ini. Mereka juga akan sibuk dengan pembangunan permainan seterusnya oleh mereka iaitu permainan terbaharu di dalam siri Divinity.

Projek HBO ini akan wujud seiring dengan siri live-action D&D lain yang sedang dibangunkan oleh Netflix, membuktikan betapa luasnya kempen The Forgotten Realms untuk menampung pelbagai adaptasi serentak.

Baca: Ulasan Baldur’s Gate 3

Leave a Reply