Terdapat dua kem mengenai cara terbaik untuk menonton kandungan anime. Kem pertama berkata anime perlu ditonton dalam Bahasa Jepun menggunakan sair kata. Kem kedua pula mengatakan audio alih bahasa adalah cara terbaik kerana tidak memerlukan penonton membaca dan memberikan tumpuan ke skrin sepanjang masa. Namun begitu kedua-dua kem yang bergaduh seperti Montague dan Capulet ini bersetuju sistem alih bahasa Prime Video yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) adalah sampah.

Dua kandungan yang menggunakan alih bahasa AI ialah Banana Fish dan No Game No Life Zero dengan pilihan Bahasa Inggeris dan Sepanyol Latin Amerika. Prime Video meletakkan label AI Beta untuk ciri ini tetapi kerana hasil alih suara yang sangatlah teruk, ia menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan peminat anime di atas talian.

Di Malaysia hanya Banana Fish boleh menggunakan ciri ini dengan pilihan audio Sepanyol. Audio yang dihasilkan kedengaran janggal dengan intonasi yang tidak kena kena aksi yang dilakukan watak. Ia kedengaran seperti alih bahasa melepaskan uwabaki di tangga. Tindakan Prime Video menggunakan AI ini dikecam kerana siri Banana Fish tidak pernah ditawarkan secara rasmi dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.

Ketika artikel ditulis, ciri ini masih lagi belum dimatikan oleh Prime Video. Dalam situasi ini rasanya semua bersetuju menonton dalam Bahasa Jepun ialah pilihan tepat untuk dua kandungan animasi ini.

Leave a Reply