Musim baharu untuk Stranger Thing iaitu musim kelima sudah disiarkan secara rasmi di Netflix dengan empat episod pertama sudah tersedia.
Bagi yang sudah bersedia untuk siri ini mungkin sudah menonton semula musim-musim yang lepas, namun jika anda mempunyai masa yang terhad, Duffer Brother iaitu Matt dan Ross Duffer yang mencipta siri ini berkongsi kepada The Hollywood Reporter empat episod penting untuk ditonton sebelum menonton musim baharu.
Menurut mereka, episod-episod ini memegang kunci penting untuk memahami arah tuju musim terakhir ini. Episod-episod itu adalah seperti beriktu:
1. Musim 2, Episod 4: “Will the Wise”
Walaupun Musim 1 adalah permulaan segalanya, mereka menekankan bahawa Musim 2 adalah titik di mana mitologi dunia Upside Down benar-benar mula berkembang. Dalam episod ini, Will Byers mula dikuasai oleh entiti jahat (Mind Flayer), satu elemen yang dikatakan sangat relevan dengan plot Musim 5. Matt Duffer menjelaskan bahawa di sinilah mereka mula “menanam benih” untuk cerita keseluruhan yang bakal terjawab nanti.
2. Musim 2, Episod 6: “The Spy”
Episod ini disifatkan sangat kritikal kerana ia memperlihatkan hubungan unik antara Will dan Mind Flayer. Ketika ini, Will bertindak sebagai “mata-mata” atau spy kepada entiti tersebut tanpa kerelaannya. Memandangkan Musim 5 bakal menjawab persoalan misteri utama, “Kenapa Will yang diculik pada asalnya?”, memahami penderitaan dan koneksi Will dalam episod ini adalah sangat penting.
3. Musim 4, Episod 7: “The Massacre at Hawkins Lab”
Lompat terus ke musim terbaru, episod ini penting kerana menyertakan asal-usul Vecna (Henry Creel/One). Konflik antara Eleven dan Henry dalam episod ini juga mungkin akan memberi impak besar sepanjang Musim 5.
4. Musim 4, Episod 9: “The Piggyback”
Sebagai episod penutup bagi Musim 4, ini adalah pilihan yang jelas. Ia menetapkan pentas untuk pertempuran terakhir dengan memaparkan Hawkins yang kini mula “dijajah” Upside Down. Ia menyambung terus naratif ke titik permulaan musim terakhir.
Selain daripada itu, Duffer Brothers juga menjelaskan bahawa Musim 5 direka untuk melengkapkan pusingan cerita, kembali menjawab persoalan-persoalan yang ditinggalkan sejak Musim 1. Jilid pertama untuk musim terakhir ini sudah disiarkan, manakala tiga lagi episod, Jilid 2 tiba pada 26 Disember dan satu episod akhir akan tiba pada 1 Januari 2026.
Netflix boleh dilanggan dengan empat pelan iaitu Mobile (RM18.90/sebulan), Basic (RM29.90/sebulan), Standard (RM49.90/sebulan) dan Premium (RM62.90/sebulan).


