Bagi filem komedi yang kurang berjaya, satu masalah yang berlaku adalah sesuatu filem itu cuba untuk menjadi lawak tetapi gagal melakukannya, bagi filem terbaru di dalam siri The Naked Gun selepas lebih 31 tahun, mereka tidak cuba menjadi lucu ataupun lawak tetapi keseluruhan premis filem ini dilakukan dengan cara yang akan membuatkan saya ketawa, tetapi seperti filem di dalam siri ini sebelum ini, tiada watak di dalam filem ini yang cuba untuk menjadi lawak atau menjadi badut sebaliknya mereka bersikap seperti biasa dan gelak tawar sekadar hadir daripada saya sebagai penonton.

Filem ini merupakan sekuel kepada filem Naked Gun 33⅓: The Final Insult yang diterbitkan pada tahun 1994 tetapi berlaku beberapa tahun kemudian dengan ia kini mengenai Lt. Frank Drebin Jr. lakonan Liam Neeson iaitu anak kepada Frank Drebin yang menyiasat mengenai satu kemalangan. Frank Drebin Jr. menyiasatnya bersama dengan Capt. Ed Hocken Jr. lakonan Paul Walter Hauser anak kepada Ed Hocken dan juga Beth Davenport lakonan Pamela Anderson iaitu kakak kepada mangsa kemalangan tersebut.

Siasatan mengenai kemalangan atau mungkin pembunuhan ini menjadi penggerak penceritaan dan boleh dikatakan dilakukan dengan baik pada permulaan, sebelum menjadi semakin kurang penting di bahagian yang berikutnya, kerana pentas utama di ambil oleh pelbagai adegan jenaka yang dilakukan oleh hampir semua watak di dalam filem ini. Frank Drebin Jr. terus melakukan perkara yang cliché dilakukan oleh detektif untuk menyiasat dengan gandingan utamanya adalah bersama Beth Davenport yang saya boleh katakan satu dinamik yang menarik, tetapi pembinaan plot ini bukanlah sesuatu yang berlainan ataupun menarik ia mudah untuk dijangka dan saya juga tidak rasa filem ini cuba untuk menjadi berlainan di bahagian ini.

Jenaka digunakan adalah pelbagai tetapi jenaka tanpa ekspresi merupakan jenis jenaka yang utama, saya boleh katakan ia berkesan dan sering membuatkan saya ketawa. Sudah semestinya ada jenaka yang menjadi dan ada yang tidak, tetapi kerana setiap adegan di dalam filem ini cuba untuk menyertakan elemen jenaka, anda tidak sempat untuk terasa kekurangan bagi bahagian yang kurang menjadi kerana sudah beralih ke jenaka yang seterusnya. Saya mempunyai kerisauan mengenai jenaka bagi filem ini apabila terasa kurang daripada treler, tetapi apabila dilihat di dalam filem penuh, ia menjadi lebih mencuit hati apabila mempunyai context yang lebih.

Jenaka yang terus menerus ini seperti saya katakan sebelum ini menjadi dan boleh saya hargai kerana tiada watak di dalam filem ini berlakon ataupun cuba untuk menjadi lawak, Liam Neeson masih lagi membawa watak dengan persona seperti dalam filem Taken begitu juga dengan pelakon-pelakon lain. Ini merupakan perkara yang sama menjadi kekuatan siri filem The Naked Gun yang lain, dan walaupun mengambil masa 31 tahun untuk hadir dengan filem baharu tetapi filem ini dengan jayanya membawa perasaan yang sama, walaupun dengan era yang lebih moden dan senarai pelakon yang baharu.

Akhir kata, filem terbaru The Naked Gun ini berjaya untuk memberikan sesuatu yang akan dijangkakan oleh sesiapa sahaja yang menonton filem ini, iaitu lawak jenaka yang berterusan dengan setiap adegan akan mempunyai punchline tersendiri termasuk juga bahagian kredit dan pos-kredit. Penceritaan mengenai polis ataupun siasatan jenayah merupakan bahagian kedua sahaja dan ia sesuatu yang tidak unik dan mudah untuk dijangka tetapi pada masa yang sama, filem ini juga tidak cuba untuk menjadi lebih daripada itu.

The Naked Gun (2025)
Berjaya untuk memberikan sesuatu yang akan dijangkakan oleh sesiapa sahaja yang menonton filem ini, iaitu lawak jenaka yang berterusan dengan setiap adegan akan mempunyai punchline tersendiri termasuk juga bahagian kredit dan pos-kredit dengan kisah polis dan siasatan, bahagian sampingan sahaja.
Positif
Filem jenaka yang berterusan
Lakonan menjadi oleh semua watak
Negatif
Premis penceritaan pada awal menarik tetapi diketipakan kemudian
7

Leave a Reply

Final Score