Grand Theft Auto V ialah permainan sandbox dunia terbuka yang dilancarkan sekitar 12 tahun yang lalu oleh Rockstar Games dan mempunyai beratus juta pemain di seluruh dunia. Walaupun begitu, permainan tersebut, yang dilihat mempromosikan pelbagai aktiviti dan kegiatan yang tidak begitu mesra keluarga telah diharamkan jualannya di beberapa negara tertentu, khususnya di Timur Tengah.
Terkini, melalui pengumuman oleh akaun X PlayStation_ME, nampaknya permainan tersebut telah akhirnya dibenarkan jualannya di negara-negara timur tengah seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu bermula 17 Julai yang lalu.
Permainan tersebut hadir dengan penarafan umur 21+, dimana nampaknya hanya orang dewasa berumur 21 tahun keatas dibenarkan untuk membeli permainan tersebut. Walaupun ia dilihat bahawa banyak kandungan permainan tersebut tidak diubah, ciri-ciri seperti Casino, yang mempromosi aktiviti judi telah dibuang sebagai satu langkah untuk membendung perkara tersebut.
Kini nampaknya GTA V sudah boleh dibeli secara rasmi secara atas talian dan fizikal. Ia masih perlu dilihat sama ada Rockstar akan berkompromi juga untuk membolehkan Grand Theft Auto VI untuk dijual di rantau tersebut.


