Filem F1 ataupun F1 the Movie sering dipromosi sebagai filem oleh pengarah yang membawa Top Gun: Mavericks iaitu Joseph Kosinski dan selepas menonton filem ini saya boleh katakan ada sebab mereka meletakkan filem lakonan Tom Cruise tersebut sebagai alat promosi kerana filem F1 ini juga menjanjikan perkara yang sama, iaitu keterujaan melihat sesuatu yang laju, jet pejuang untuk Top Gun dan kereta lumba untuk filem F1 ini. Malangnya, selain daripada bahagian tersebut, F1 the Movie tidak dapat membawa penceritaan yang baik untuk memperkuatkan lagi bahagian teknikal yang saya rasakan antara yang terbaik bagi satu filem sukan dan juga lumba kereta.

F1 sangat berjaya di dalam membawa perlumbaan F1 ke layar perak dengan cara yang tidak pernah di alami sebelum ini, mereka benar-benar memberi perasaan perlumbaan yang sebenar dengan adegan-adegan dirakamkan semasa hari perlumbaan yang sebenar, sesi perlumbaan dilakukan dengan cukup baik untuk menggambarkan perlumbaan yang sebenar, ini ditambah lagi dengan bunyi dan juga kegunaan kamera yang sangat baik, ia adalah sesuatu yang harus dipuji dan benar-benar memberi sesuatu untuk dipercakapkan oleh semua yang menontonnya.

Kamera daripada pandangan pemandu merupakan sesuatu yang sering diinginkan oleh peminat mana-mana sukan perlumbaan kereta, tambahan lagi F1, ia ada dilakukan tetapi bukanlah dengan keputusan yang memuaskan kerana, ia sendirinya adalah sesuatu yang sukar. Namun, filem ini sekurang-kurangnya memperlihatkan dengan baik bahagian ini, walaupun sekadar satu lakonan dan bukan perlumbaan yang sebenar tetapi cara ia dilakukan memuaskan hati, selain daripada ada masa bahagian penonton kelihatan kosong tetapi secara keseluruhannya ia masih satu pengalaman yang baik terutama untuk peminat sukan ini.

Seperti saya nyatakan di bahagian permulaan, malangnya bahagian penceritaan tidak dapat menandingi kekuatan bahagian teknikal untuk filem ini. Filem ini memfokuskan kepada Sonny Hayes lakonan Brad Pitt, seorang pelumba kereta yang sudah berumur dan sering bertukar-tukar jenis lumba kereta yang dilakukan. Dia merupakan seorang yang hampir menjadi pelumba F1 pada tahun 90-an, tetapi selepas satu kemalangan kariernya berubah.

Dia diajak oleh rakannya iaitu Ruben Cervantes yang merupakan pemilik pasukan F1 APXGP, tetapi dengan pasukannya tidak pernah mendapat sebarang markah, ia semakin hampir untuk dijual oleh lembaga pengarah. Ruben mengajak Sonny untuk menjadi pemandunya bukan sahaja bagi mengelak daripada perkara tersebut tetapi juga untuk menjadi telunjuk kepada Joshua Pearce lakonan Damson Idris iaitu seorang pelumba muda yang risau dengan kemajuan kariernya jika projek APXGP gagal.

Masalah utama bagi penceritaan untuk filem ini bagi saya ia cuba membawa beberapa permasalahan pada satu masa yang membuatkan setiap permasalahan tersebut tidak diberi fokus dengan mencukupi dan kurang memberi impak kepada penceritaan secara keseluruhan. Permasalahan pertama, mereka ingin mengelak daripada pasukan ini dijual, kemudian terdapat juga permasalahan mengenai Joshua yang tercabar dengan kehadiran Sonny bagi saya dua permasalahan ini sepatutnya sudah mencukupi untuk menjadikan satu penceritaan yang menarik.

Namun, filem ini menambah lagi beberapa permasalahan yang lain dan bagi saya setiap tambahan, mengurangkan lagi kesan untuk permasalahan lain, sehinggakan ia tidak memberi kesan kepada saya sebagai penonton. Sesetengah permasalahan juga terasa diselesaikan dengan cepat, sebelum ia dapat berkembang dengan baik semata-mata untuk memberi laluan kepada masalah yang baharu. Bagi perkara ini, saya boleh jadikan Top Gun: Mavericks sebagai contoh, filem ini mempunyai satu sahaja permasalahan utama dan bahagian-bahagian lain dilakukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Beberapa pilihan plot yang digunakan untuk menyelesaikan beberapa masalah juga terasa kurang menarik, terutama yang saya boleh kaitkan dengan integriti sesuatu perlumbaan. Saya mengikuti F1 secara kasual sahaja, tetapi saya masih merasakan cara yang digunakan tidak ‘masuk akal’ dan sekadar dihasilkan untuk menjadikan drama ataupun cara jalan pintas untuk menyelesaikannya, yang bagi saya sedikit mengecewakan. Saya tidak akan nyatakan agar tidak menjadi spoiler tetapi ia berlaku pada awal-awal Sonny menjadi pelumba F1.

Filem ini masih lagi menampilkan pelakon-pelakon yang berpengalaman dengan setiap daripada mereka membawa perwatakan dengan baik walaupun skrip terasa kurang menarik. Perhubungan di antara Sonny dan Joshua mencuri tumpuan dengan pembawaan yang baik daripada mereka berdua, begitu juga dengan perhubungan mereka dengan Kate McKenna lakonan Kerry Condon yang merupakan pengarah teknikal untuk pasukan ini tetapi perhubungan romantik di antara Kate dengan Sonny terasa sangat janggal dan tidak memberi nilai tambah kepada kedua-dua watak yang secara sendirinya sudah cukup baik.

F1 the Movie merupakan satu filem yang sangat baik persembahannya dengan Joseph Kosinski berjaya untuk membawa keterujaan yang tidak pernah dialami daripada menonton sukan F1, tidak kira melalui kegunaan kamera ataupun suntingan sesuatu adegan lumba dan juga dengan kesan bunyi dan juga muzik yang digunakan. Namun, perkara sama tidak boleh dikatakan untuk jalan cerita dan juga perkembangan sesuat masalah, ia terasa bercelaru dan kurang menarik walaupun lakonan yang baik daripada setiap pelakon yang terlibat.

F1 the Movie
Satu filem yang memberikan adegan perlumbaan F1 dengan sangat baik memberi keterujaan dan pengalaman yang baharu terutama untuk peminat, tetapi jalan cerita dan perkembangan permasalahan tidak dilakukan dengan baik serta bercelaru. Menjadikan pengalaman tontonan yang kurang memuaskan.
Positif
Adegan lumba yang baik
Lakonan mantap
Negatif
Jalan cerita kurang menarik
Permasalahan bercelaru
7

Leave a Reply

Final Score