Penerbit 2K dan studio Hangar 13 telah mengumumkan penambahan terbaharu untuk Mafia: The Old Country yang diberi nama Man of Honor. Pengumuman yang dibuat di acara Summer Game Fest 2026 itu mendedahkan bahawa kandungan tambahan ini akan dilancarkan pada 14 Ogos 2026 bagi platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam.

Man of Honor membawakan dua bab baharu yang memfokuskan kepada kisah Enzo Favara, seorang soldato dalam keluarga jenayah Torrisi. Berlatarkan kawasan Sicily pada musim sejuk tahun 1905, jalan cerita ini memperlihatkan Enzo dan Cesare ditugaskan untuk membantu Ennio Salieri, watak antagonis utama daripada Mafia: Definitive Edition yang baru sahaja dibebaskan dari penjara. Pemain akan dibawa menerokai kawasan Valle Dorata yang dipenuhi dengan persekitaran, senjata, kenderaan, dan aksesori baharu.

Selain daripada mod cerita, penambahan ini turut menyertakan kandungan untuk mod Free Ride. Melalui mod ini, pemain boleh bekerjasama dengan Salieri untuk menyelesaikan pelbagai cabaran ekstrem, mencari barangan koleksi, serta menerokai lokasi yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Sempena pengumuman ini, siri permainan Mafia turut ditawarkan dengan potongan harga secara digital. Promosi ini sah sehingga 10 Jun 2026 untuk platform PlayStation, 11 Jun 2026 untuk Xbox, dan 18 Jun 2026 untuk Steam.

Berikut adalah senarai potongan harga yang ditawarkan:

  • Mafia: The Old Country Standard Edition – Potongan 30% (PlayStation 5, Xbox Series, PC)
  • Mafia: Definitive Edition – Potongan 85% (PlayStation 4, Xbox One, PC)
  • Mafia II: Definitive Edition – Potongan 80% (PlayStation 4, Xbox One, PC)
  • Mafia III: Definitive Edition – Potongan 80% (PlayStation 4, Xbox One, PC)
  • Mafia: Trilogy – Potongan 80% (PlayStation 4, Xbox One, PC)

Leave a Reply