Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
The Midnight Walk
Platform: PlayStation 5, PC
Daripada pembangun Lost in Random dan Fe, The Midnight Walk menjanjikan pengalaman pengembaraan yang dipenuhi dengan pelbagai perkara yang menarik dan juga perkara yang menakutkan. Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi ‘The Burnt One’ dan perlu melalui pelbagai halangan termasuk juga raksasa, tetapi dengan bantuan satu tanglung bernama PotBoy setiap cabaran boleh dihadapi. Permainan ini juga boleh dimainkan secara realiti maya untuk PS VR2 dan juga PC VR.
Revenge of the Savage Planet
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Permainan susulan kepada Journey to the Savage Planet, di dalam permainan ini pemain telah menjadi pekerja yang tidak diperlukan oleh syarikat. Pemain telah ditinggalkan di satu planet dengan perkakasan yang sedikit. Oleh itu, pemain perlu mengembara dan mencari barangan-barangan yang diperlukan di planet tersebut untuk membina kelengkapan sendiri demi membalas dendam dan kembali ke bumi.
Little Kitty, Big City
Platform: PlayStation
Teringin untuk menjadi kucing? Permainan ini adalah untuk anda, di dalamnya pemain akan menjadi seekor kucing hitam yang sesat di banda Jepun. Sasaran utama adalah untuk mencari jalan pulang akan tetapi di dalam perjalanan pelbagai perkara yang boleh dilakukan oleh kucing termasuk juga mencuri telefon pintar orang awam. Permainan ini sudah dilancarkan untuk Xbox, Nintendo Switch dan PC, minggu ini ia juga akan tiba untuk PlayStation.
Spirit of the North 2
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC
Selain menjadi kucing, minggu ini, pemain juga boleh menjadi seekor musang yang sedang di dalam pengembaraan untuk menyelamatkan dunia. Melalui dunia indah yang juga dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan ancaman, pemain sebagai musang perlu melaluinya ditemani dengan seekor gagak untuk mengembalikan penjaga yang hilang. Ia merupakan permainan susulan kepada Spirit of the North yang dilancarkan pada tahun 2019.
Captain Blood
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch PC
Permainan aksi pengembaraan – hack and slash ini pertama kali diumumkan pada 10 tahun lepas. Ia merupakan permainan yang mengadaptasi novel oleh Rafael Sabatini. Disebabkan pelbagai masalah perundangan, permainan ini telah ditunda sehinggalah dilancarkan pada minggu ini untuk kebanyakan platform terkini.