Blood Brothers: Bara Naga terus menjadi pilihan penonton filem tempatan apabila terus mencatat jumlah kutipan yang tinggi walaupun sudah dua minggu ditayangkan. Filem tersebut kini telah mencapai RM50 juta selepas 14 hari tayangan.
Filem ini sebelum ini dilaporkan telah mengutip RM45.7 juta selepas 11 hari ditayangkan, dengan kata lain telah mengutip RM4.3 juta sepanjang tiga hari yang lepas. Menandakan yang ia masih menarik minat orang ramai.
Blood Brothers sebelum ini mendahului kutipan Mat Kilau, iaitu filem tempatan dengan kutipan tertinggi selepas mengutip RM29.9 juta selepas 7 hari tayangan berbanding Mat Kilau mencatat RM23 juta untuk tempoh yang sama.
Walaupun begitu, Mat Kilau terlebih dahulu mencatat kutipan melebihi RM50 juta, selepas mengutip RM53 juta selepas 13 hari, manakala Blood Brothers mengambil masa 14 hari untuk mencapai penanda aras tersebut.
Perlahan ataupun cepat bukanlah satu masalah besar, Blood Brothers kini sudah tersenarai di dalam antara filem paling berjaya dan kutipan akan terus bertambah dari semasa ke semasa.