Skip to main content

Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.

Clair Obscur: Expedition 33

Platfrom: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Permainan yang ingin memodenkan tatamain JRPG klasik ini mempunyai penyampaian yang sangat menarik. Melalui grafik sehinggalah sistem pertempuran, ia kelihatan seperti satu surat cinta bagi pemain yang sentiasa menyukai permainan pertempuran mengikut turutan. Permainan ini juga mempunyai penceritaan menarik di mana sekumpulan rakan cuba melawan Paintress yang akan membunuh kesemua orang yang berumur tertentu.

Days Gone Remastered

Platform: PlayStation 5

Buat masa ini, masih tiada petanda yang Days Gone akan menerima permainan susulan tetapi sebagai permainan kendiri ia sudah cukup menarik dengan penceritaan yang mendalam dan juga tatamain yang pelbagai terutama di dalam melawan zombi. Versi Remastered ini menyertakan grafik yang lebih baik dan juga tambahan permainan seperti Horde Assault jika anda ingin cabaran melawan ribuan zombi yang inginkan otak anda.

Fatal Fury: City of the Wolves

Platform: PlayStation, Xbox Series, PC

Hampir 26 tahun tanpa permainan sendiri, dan watak-watak Fatal Fury sekadar menjadi watak jemputan di dalam permainan pertarungan yang lain, City of the Wolves akan menjadi permainan baharu untuk siri ini. Permainan ini akan menerima 17 watak seperti Terry Bogard, Mai Shiranu dan juga legenda bola sepak iaitu Cristiano Ronaldo. Ia juga akan menerima lima watak DLC termasuk juga daripada Street Fighter iaitu Chun-Li.

Post Trauma

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Permainan seram ini menjadikan permainan-permainan klasik daripada era PS2 sebagai inspirasi untuk hadir dengan permainan yang dipenuhi dengan pelbagai tekaria yang perlu diselesaikan oleh pemain sambil melarikan diri daripada pelbagai makhluk yang menghantui pemain. Jika tidak ingin meluangkan masa terlalu lama untuk menyelesaikan tekaria, pembangun mencadangkan anda untuk bermain sambil mencatat perkara penting menggunakan pen dan kertas.

The Hundred Line: Last Defense Academy

Platform: Nintendo Switch, PC

Permainan yang menggabungkan novel visual dengan tatamain strategi RPG ini mempunyai satu penceritaan yang berlaku di dalam 100 hari. Jika ia kedengaran seperti satu masa yang tidak panjang, permainan ini juga mempunyai 100 pengakhiran yang berbeza mengikut pilihan yang dilakukan oleh pemain semasa bermain yang akan mengambil masa lebih 100 jam jika ingin mendapatkan kesemua pengakhiran ini.

Leave a Reply