Syafiq Yusof terus membuktikan beliau merupakan antara pengarah filem aksi terbaik di Malaysia, jika bukan yang terbaik. Daripada filem Abang Long Fadil, KL Special Force, Polis Evo dan sehinggalah Sheriff: Narko Integriti dengan Sheriff saya boleh katakan sebagai karya beliau yang terbaik sebelum ini, tetapi setiap filem saya mempunyai beberapa rungutan yang sedikit mencacatkan pengalaman saya menontonnya walaupun masih satu filem yang baik, sehinggalah Blood Brothers: Bara Naga filem terbaru oleh beliau yang saya boleh katakan tidak mempunyai rungutan yang besar dan setiap daripada filem ini dilakukan dengan sangat baik dan berkualiti. Filem ini diarahkan bersama dengan Abhilash Chandra yang juga penulis bersama.
Ghaz lakonan Sharnaaz Ahmad merupakan orang besar di dalam sebuah kumpulan kongsi gelap yang menjadikan syarikat penyediaan pengawal peribadi sebagai front, akan tetapi mereka lebih kepada kumpulan yang menjaga ketua-ketua kumpulan lain yang dipanggil sebagai ‘Naga’. Manakala Ariff lakonan Syafiq Kyle merupakan pengikut setia Ghaz, kerana mereka membesar di tempat yang sama dan Ghaz yang membawa Ariff masuk ke kumpulan tersebut. Melalui perhubungan inilah mereka menjadi rapat dan sering menjaga satu sama lain termasuk juga di dalam keadaan yang berbahaya.

Kumpulan ini diketuai oleh Dato Zul lakonan Wan Hanafi, namun akibat masalah kesihatan dia telah meminta Ghaz untuk menjadi ketua kumpulan tersebut. Selain daripada Ghaz mempunyai kesetiaan daripada ahli-ahli lain, dia juga bakal berkahwin dengan anak perempuan Dato Zul, Sheila lakonan Amelia Henderson. Selepas perkahwinan, Sheila telah dibunuh dan segala bukti memperlihatkan yang Ariff melakukannya. Perkara ini membuatkan Ghaz dan Dato Zul ingin Ariff bertanggungjawab, manakala Ariff pula tiada pilihan lain dan terpaksa melarikan diri untuk membersihkan namanya.
Antara kekuatan untuk filem ini bagi saya adalah penyampaian setiap watak, dan juga permasalahan dilakukan dengan cukup baik. Tidak kira mengenai kumpulan kongsi gelap ini, perhubungan Ghaz dengan Ariff, atau perhubungan Ghaz dengan Sheila, perhubungan Ariff dengan keluarganya dan permasalahan-permasalahan lain disampaikan dengan baik, memberi satu penceritaan mudah untuk diikuti, walaupun agak mudah untuk dijangkakan apa yang akan berlaku tetapi masih menarik untuk dilihat apabila perkara tersebut berlaku. Lakonan dan dialog juga dihasilkan dengan berkualiti.
Kekuatan seterusnya pula, adalah adegan-adegan aksi terutama pertempuran jarak dekat juga dilakukan dengan memuaskan, setiap pertempuran atau adegan-adegan ganas diperlihatkan dengan jelas, walaupun ia tidaklah dipenuhi dengan darah ataupun patah tulang, tetapi ia masih memberi kepuasan kepada yang menyukai filem aksi. Setiap pelakon yang terlibat untuk melakukan adegan-adegan aksi ini juga melakukan setiap koreografi pertempuran dengan baik menjadikannya bukan sahaja menarik tetapi juga menjadikan adegan aksi tersebut masuk akal dan bukan aksi untuk sekadar aksi sahaja.
Seperti saya nyatakan di permulaan ulasan ini, saya tidak mempunyai rungutan besar bagi filem ini, saya berpuas hati dengan kebanyakan bahagiannya termasuk juga penceritaan sesuatu yang saya mempunyai masalah sebelum ini dengan kebanyakan filem tempatan. Bahkan, Sheriff sendiri, yang masih lagi filem tempatan kedua dengan kutipan tertinggi mempunyai masalah yang mengganggu penceritaan, manakala bagi filem Blood Brothers ini saya hanya mempunyai beberapa masalah kecil sahaja dan ia lebih kepada preferences saya dan mungkin bukan masalah untuk penonton-penonton lain.
Rungutan pertama saya adalah bahagian penting di dalam plot terasa lemah, terutama mengenai perhubungan di antara Ghaz dan Ariff, selepas Ariff dituduh Ghaz secara terus merasakan yang Ariff bersalah. Ia sedikit janggal kerana filem ini adalah mengenai perhubungan yang bagaikan perhubungan darah. Filem ini cuba untuk memberi gambaran yang Ghaz terlalu marah, tetapi saya merasakan jika filem ini meluangkan lebih masa untuk memberi lebih dinamik kepada perhubungan di antara mereka berdua, kesan emosi akan menjadi lebih berkesan.
Satu lagi bahagian penting di dalam plot penceritaan juga berlaku kerana “kebetulan”, ia bukan satu masalah, kerana ia perkara yang sering digunakan di dalam filem dan bukannya ia tidak mungkin berlaku akan tetapi saya lebih berharap untuk sesuatu yang menjadi perkara penting terutama di dalam penyelesaian untuk permasalahan plot lebih baik jika tidak terlalu berharap kepada kebetulan kerana ia serba sedikit mengurangkan kesan penyelesaian tersebut.
Seterusnya, dan ini benar-benar kerana preference saya sahaja iaitu penggunaan letupan dan juga tatu. Filem ini mempunyai banyak letupan, terutama letupan kereta, tetapi saya boleh katakan hanya satu atau dua sahaja letupan yang kelihatan baik, selebihnya ia kelihatan janggal. Bagi saya letupan-letupan ini tidak memberi kesan yang besar di dalam penyampaian aksi dan ia boleh dikurangkan, manakala penggunaan tatu juga visual yang paling mudah untuk memperlihatkan watak “jahat” ataupun “ganas”, tetapi saya juga merasakan ia tidak diperlukan kerana dialog dan aksi yang dilakukan oleh watak sudah mencukupi.
Akhir kata, Blood Brothers: Bara Naga hadir dengan satu filem yang memberi kepuasan kepada penonton, melalui penceritaan yang disampaikan dengan kemas dan adegan aksi yang dilakukan dengan sangat baik. Kisah ‘manusia’ di antara watak juga dilakukan mencukupi untuk memberi nilai tambah kepada filem ini. Ia benar-benar karya terbaik oleh Syafiq Yusof dan berkemungkinan untuk menjadi filem terbaik tahun ini walaupun dengan beberapa masalah kecil.