The Amateur membawa satu penceritaan yang sudah berkali-kali dijadikan sebagai filem ataupun kandungan-kandungan lain, ia tidak membawa sesuatu yang baharu dan pengakhiran boleh dikatakan mudah untuk dijangkakan akan tetapi prestasi lakonan Rami Malek serba sedikit membawa kelainan kepada filem ini dan memberikan pengalaman yang baik, namun ia masih mempunyai masalah dengan beberapa pilihan adegan dan juga watak.
Charles Heller merupakan seorang penganalisa di CIA, seorang yang kekok tetapi sangat mahir di dalam pekerjaannya yang lebih berkait komputer dan juga penyulitan. Dia mempunyai seorang isteri iaitu Sarah lakonan Rachel Brosnahan. Di permulaan filem ini, Sarah perlu ke London atas urusan kerja, pada masa yang sama Heller telah diberikan oleh seorang pemberi informasi mengenai pelbagai rahsia CIA yang boleh menjatuhkan reputasi mereka. Tidak sempat untuk dia bertindak dengan informasi tersebut, dia telah diberitahu yang Sarah telah terbunuh selepas satu serangan pengganas di London.

Pengarahnya iaitu Moore lakonan Holt McCallany meminta Heller untuk mengambil cuti bagi menenangkan dirinya, namun Heller yang resah kerana tiada tindakan yang diambil berkenaan pembunuh isterinya telah melakukan inisiatif sendiri untuk mencari pengganas-pengganas tersebut. Dia berjaya melakukannya dan membawa perkara tersebut kepada Moore. Namun, dia dapati Moore sudah mengetahui maklumat tersebut tetapi tidak ingin bertindak kerana “menantikan masa yang tepat”.
Tidak lagi dapat menunggu, Heller mengambil keputusan untuk menggunakan rahsia CIA yang dijumpainya untuk mengugut Moore untuk melatihnya agar dapat mencari dan membalas dendam sendiri terhadap yang terlibat dengan pembunuhan isterinya. Tiada pilihan, Moore bersetuju dan Heller mula berlatih bersama dengan Henderson lakonan Laurence Fishburne, tetapi Henderson juga diarahkan oleh Moore untuk mengawasi Heller dan mungkin lebih daripada itu.

Selepas menyedari Moore mengarah Henderson untuk membunuhnya, Heller telah melarikan diri dan bermulalah misinya untuk mencari pembunuh isterinya akan tetapi latihan tersebut tidak boleh dikatakan berjaya kerana Heller masih lagi seperti Heller yang biasa dan tidak masih tidak dapat menggunakan senjata api. Namun, dia sebaliknya lebih mahir di dalam penghasilan bom secara sendiri yang menjadikan senjata utama untuknya.
Penceritaan seterusnya lebih memfokuskan kepada bagaimana dia melalui dunia yang serba baharu ini demi untuk mencari pengganas-pengganas tersebut. Ia berlaku seperti yang sudah dijangkakan tanpa sebarang plot twists ataupun kejutan, namun masih memberi perasaan yang cemas dan melihat Heller keluar daripada zon selesanya untuk melakukan perkara ini masih lagi menarik untuk ditonton. Cara dia mencari dan membalas dendam juga boleh dikatakan kreatif. Perkara ini juga bertambah rancak kerana dia bukan sahaja mencari pengganas tersebut tetapi juga perlu mengelak daripada buruan CIA dan Moore.

Bagi saya, masalah utama untuk penceritaan ini adalah terdapat beberapa plot ataupun watak yang saya tidak pasti sama ada ia diperlukan ataupun tidak. Pertama mengenai Heller meminta untuk dia dilatih, oleh kerana ia sekejap sahaja dan Heller akhirnya tidak benar-benar menggunakan ‘latihan’ tersebut, membuatkan saya tidak pasti jika ia perlu diletakkan.
Selain itu, terdapat juga watak yang saya tidak pasti tujuannya seperti watak lakonan Jon Bernthal yang merupakan seorang CIA, dan mengenali Heller tetapi bagaimana wataknya diselit di dalam penceritaan ini membuatkan saya terfikir jika ada lebih banyak adegan yang melibatkan-nya tetapi telah disunting keluar kerana penglibatannya sangat janggal. Filem ini kemudian memperkenalkan Inquiline lakonan Caitriona Balfe yang merupakan pemberi maklumat kepada Heller di awal penceritaan, wataknya dilakukan dengan baik membantu Heller di dalam misinya tetapi masih lagi terasa janggal di beberapa bahagian.

Filem ini masih boleh dikatakan sebagai filem aksi, dengan terdapat beberapa bahagian yang melibatkan aksi tetapi pada masa yang sama, Heller bukanlah seorang yang pandai melawan oleh itu ia lebih kepada melarikan diri dan menggunakan helah. Seperti saya nyatakan sebelum ini, cara Heller melakukan sesuatu adalah kreatif dan juga menarik. Cuma di bahagian akhir, saya boleh katakan ia tidak memberi kepuasan. Saya sudah menjangkakan apa yang akan berlaku tetapi penyampaian bahagian ini terasa sangat lemah dan kurang kemas.
Akhir kata, The Amateur membawa plot penceritaan yang sudah diulang-ulang puluhan kali tetapi persembahan Rami Malek sekurang-kurangnya memberi kelainan dan juga menjadikannya masih tontonan menarik walaupun terdapat pelbagai pilihan plot dan watak yang terasa janggal. Jika anda inginkan filem thriller, mengenai pembalasan dendam, ia masih satu filem yang baik tetapi bukan satu filem yang akan diingatkan buat masa yang lama.