Nintendo telah melakukan pengumuman lanjut mengenai konsol generasi terbaru mereka iaitu Nintendo Switch 2 melalui Nintendo Direct pada minggu ini. Terdapat pelbagai pengumuman yang dilakukan mengenai konsol tersebut dan juga mengenai permainan-permainan yang akan dilancarkan untuknya.
Berikut merupakan 10 perkara yang anda perlu tahu mengenai Nintendo Switch 2:
Tiba Suku Ketiga Di Malaysia
Nintendo mengumumkan 5 Jun 2025 akan menjadi tarikh rasmi untuk pelancaran konsol ini, akan tetapi seperti biasa tarikh tersebut adalah untuk pasaran Amerika Syarikat dan juga beberapa pasaran utama seperti Eropah dan Jepun. Manakala bagi pengguna di Malaysia, laman rasmi Nintendo Malaysia telah mengumumkan yang ia akan tiba seawal bulan Julai atau selewatnya bulan September 2025. Mereka juga mengumumkan sokongan rasmi untuk Nintendo eShop dan Nintendo Switch Online akan diperkenalkan.

Jangkaan Harga RM2,069
Nintendo Switch 2 akan ditawarkan dengan harga $449 di Amerika Syarikat iaitu lebih kurang RM2,010 manakala di Jepun ia akan menerima dua jenis konsol, iaitu konsol berbahasa Jepun sahaja dengan harga ¥49,980 atau konsol multi-bahasa dengan harga ¥69,980 iaitu RM1,511 dan RM2,116. Berdasarkan tukaran mata wang secara terus ini, kita boleh jangkakan yang harga rasmi untuk Nintendo Switch 2 sekurang-kurangnya RM2,069.
Skrin Lebih Besar
Nintendo Switch 2 akan menyertakan saiz skrin yang lebih besar berbanding generasi lepas iaitu 7.9-inci, selain itu ia juga kini mempunyai resolusi 1080p berbanding 720p sebelum ini, menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz (VRR) dan sokongan HDR10. Namun, ia akan kembali menggunakan LCD berbanding OLED, dan kita boleh jangkakan yang Nintendo Switch 2 OLED akan tiba pada pertengahan jangka hayat untuk konsol generasi baharu ini.

Sokongan 4K
Berbanding dapat memaparkan sehingga 1080p bagi mod TV, Nintendo Switch 2 kini menyokong paparan resolusi 4K dengan kadar kelancaran 60FPS, ataupun 1080p/1440p jika inginkan kadar kelancaran sehingga 120FPS. Permainan-permainan yang dimainkan dengan resolusi 1080p juga boleh dimainkan secara 4K menggunakan teknologi upscalling.
Storan Dalaman Berganda
Storan dalaman mungkin tidak lagi menjadi isu dengan Nintendo Switch 2 diumumkan menyertakan 256GB storan dalaman berbanding 64GB sebelum ini. Jika masih tidak mencukupi, ia juga masih menyokong microSD akan tetapi hanya boleh menggunakan microSD Express sehingga 2TB. Manakala microSD biasa hanya boleh digunakan untuk memindahkan tangkapan skrin dan juga video.

Bateri Lebih Besar Tetapi…
Nintendo Switch 2 menggunakan bateri yang lebih besar berbanding sebelum ini iaitu 5220mAh berbanding 4310mAh, akan tetapi berdasarkan jangkaan ketahanan bateri ia adalah 2 sehingga 6.5 jam iaitu lebih rendah berbanding Nintendo Switch OLED dengan 4.5 sehingga 9 jam. Perkara ini adalah kerana Nintendo Switch 2 menggunakan skrin 1080p, panel LCD dan juga cip yang lebih berkuasa.
GameChat
Jika dilihatkan di Joy-Con 2 terdapat satu butang tambahan iaitu ‘C’ butang ini adalah untuk mengakses fungsi baharu yang diperkenalkan di konsol ini iaitu GameChat. Ia merupakan fungsi chat terbina yang menyokong suara dan juga video. Konsol juga akan mempunyai mikrofon terbina yang menurut Nintendo juga boleh digunakan semasa berjauahan dan di tempat yang bising. Nintendo juga hadir dengan perkakasan baharu iaitu Nintendo Switch 2 Camera yang dijual secara berasingan, ia juga menyokong mana-mana kamera dengan sambungan USB-C. Perkhidmatan ini memerlukan langganan Nintendo Switch Online tetapi boleh digunakan secara percuma sehingga 31 Mac 2026.
GameShare
Tambahan kepada perkongsian permainan digital yang diumumkan sebelum ini, Nintendo juga mengumumkan fungsi GameShare yang membolehkan pemilik permainan digital atau fizikal berkongsi permainan tersebut untuk dimainkan bersama dengan rakan atau keluarga yang berdekatan. Hanya Nintendo Switch 2 boleh berkongsi permainan, manakala Nintendo Switch hanya boleh menerimannya sahaja dan perlu melakukan secara setempat. Perkongsian juga boleh dilakukan melalui GameChat tetapi terhad untuk Nintendo Switch 2 sahaja termasuk juga penerima.
Apa Di Dalam Kotak
Selain konsol sendiri, di dalam kotak untuk Nintendo Switch 2 juga akan menyertakan alat kawalan Joy-con 2 (Kiri dan Kanan), Joy-Con 2 Grip, Joy-Con 2 Straps, Dermaga Nintendo Switch 2, kabel HDMI, AC Adapter dan juga kabel USB-C. Dengan Nintendo Switch 2 menggunakan sambungan magnet, aksesori-aksesori yang disertakan adalah eksklusif untuk Joy-Con 2 dan tidak boleh menggunakan aksesori daripada generasi yang lepas.

Sokongan Permainan
Nintendo telah mengumumkan yang Nintendo Switch 2 akan menyokong kebanyakan permainan Nintendo Switch dengan terdapat beberapa permainan yang akan mempunyai masalah terutama dengan penggunaan aksesori tertentu. Selain itu, ia juga akan menerima permainan yang menerima naik taraf dipanggil sebagai Nintendo Switch 2 Edition, naik taraf ini ada berbayar dan percuma. Ia juga akan menerima permainan yang akan dilancarkan secara eksklusif untuk Nintendo Switch 2 sahaja.