Skip to main content

Bagi yang mengikuti siri Mythic Quest mungkin sekarang sedang menantikan untuk musim seterusnya dengan musim ketiga sudah menerima episod terakhir baru-baru ini. Sementara penantian tersebut, Apple TV+ juga hadir dengan Side Quest yang menjadi siri sampingan. Ia tidaklah meneruskan penceritaan secara terus daripada Mythic Quest tetapi memfokuskan kepada individu-individu yang mempunyai kaitan secara terus ataupun tidak dengan studio dan juga permainan Mythic Quest.

Siri sampingan ini mempunyai empat episod dengan setiap episod memfokuskan kepada watak dan juga penceritaan yang berlainan, tetapi setiap episod akan membawa mesej utama yang ingin disampaikan dan juga permasalahan yang tersendiri untuk diselesaikan. Ia menjadikan siri sampingan menarik kerana penceritaan yang berbeza-beza tetapi walaupun setiap episod lebih kurang 30 minit sahaja, bagi saya pengisian tidak terasa padat.

Episod pertama masih berkait terus dengan studio dengan ia memfokuskan kepada Phil iaitu Pengarah Seni untuk Mythic Quest dengan ia memfokuskan kepada masalah tidak yakin diri, manakala episod kedua mengenai pemilik kedai komik yang mengalami pelbagai masalah, episod ketiga pula memfokuskan kepada ahli muzik yang mempunyai masalah semasa terlibat dengan orkestra dan episod terakhir memfokuskan kepada sekumpulan pemain Mythic Quest yang menemui pepijat di dalam permainan yang memberi kesan kepada persahabatan mereka.

Bagi saya setiap episod mempunyai mesej yang baik untuk disampaikan akan tetapi seperti saya nyatakan sebelum ini, walaupun durasi adalah pendek tetapi terasa ia masih lagi boleh dipadatkan dengan adegan-adegan yang menarik. Setiap episod ada sahaja bahagian yang saya rasa sedikit membosankan dan boleh dilakukan dengan lebih baik lagi. Selain pada itu, setiap episod masih lagi dilakukan dengan memuaskan untuk menjadi penceritaan tambahan bagi pengikut siri ini.

Adakah siri ini khusus untuk yang mengikuti Mythic Quest? Saya boleh katakan tidak, setiap episod masih lagi boleh diikuti dengan baik walaupun anda tidak pernah tonton siri asal. Namun, mungkin pengetahuan sedikit mengenai apa itu Mythic Quest boleh membantu untuk menjadikan penceritaan lebih menarik. Selain itu, saya juga boleh katakan yang siri ini akan lebih disukai bagi sesiapa yang menyukai siri Mythic Quest kerana ia akan terasa seperti kandungan tambahan.

Side Quest sudah boleh ditonton di Apple TV+.

Side Quest
Satu siri sampingan yang cukup baik bagi peminat Mythic Quest, akan tetapi mungkin boleh disampaikan dengan lebih baik untuk menjadikannya lebih padat dengan pengisian.
Positif
Kepelbagaian kisah
Penyampaian yang baik
Negatif
Ada bahagian membosankan
7

Leave a Reply

Final Score