Apple telah mengumumkan tiga lagi permainan baharu yang dilancarkan untuk MacOS melalui Mac App Store, tiga permainan yang diumumkan adalah Assassin’s Creed Shadows, Resident Evil 3, dan juga Palword yang dilancarkan pada awal bulan ini.
Assassin’s Creed Shadows merupakan permainan Assassin’s Creed (AC) terbaru oleh Ubisoft dan baru sahaja dilancarkan pada 20 Mac lepas dan telah menerima lebih 2 juta pemain setakat ini. Kami sebelum ini sudah mengeluarkan ulasan untuknya dan boleh rumuskan ia satu permainan AC yang baik bagi peminat yang sedia ada.
Baca: Ulasan Assassin’s Creed Shadows
Manakala Resident Evil 3 merupakan permainan olahan semula berdasarkan permainan yang berjudul sama, ia sudah dilancarkan pada tahun 2020 dan anda boleh baca ulasan kami untuknya di pautan ini. Selain untuk MacOS, permainan ini turut dilancarkan unutk iPhone dan iPad yang terpilih, melalui satu pembelian anda boleh bermain di tiga-tiga peranti.
Seterusnya adalah Palworld, permainan yang dikatakan sebagai Pokemon tetapi dengan senjata api mencetus fenomena semasa dilancarkan yang turut mendapat perhatian daripada Nintendo sendiri. Di dalam permainan ini, pemain boleh mengumpul pelbagai binatang berbeza untuk dijadikan sebagai ‘tentera’ pertempuran ataupun membantu di dalam pembinaan kem.
Selain itu, Apple juga telah mengumumkan yang Wuthering Waves oleh Kuro Games akan tiba pada 27 Mac ini, manakala Cyberpunk 2077 dan Robocop: Rogue City akan dilancarkan sekitar tahun ini.