Skip to main content

Samsung Galaxy S25 Ultra merupakan satu peranti mercu yang memberikan pengalaman terbaik untuk bermain permainan mudah alih, ini termasuklah kerana prestasinya yang diberikan melalui penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite, paparan 6.9-inci yang berkualiti tinggi, dan juga ketahanan bateri yang memuaskan seperti kami kongsikan melalui ulasan untuknya.

Selain itu, Samsung juga menjadikan AI sebagai penawaran tambahan untuk mempertingkatkan lagi penggunaan telefon ini. Kebanyakan fungsi AI ini, seperti “Now Brief” yang merangkumkan perkara penting untuk tempoh tertentu, Live Translate, Writing Assist, dan lain-lain lagi memfokuskan kepada kegunaan umum, akan tetapi saya juga menggunakan beberapa fungsi AI ini untuk saya mempertingkatkan pengalaman bermain permainan video.

Circle to Search

Saya suka menyimpan pelbagai tangkapan skrin untuk pelbagai permainan video, dengan menggunakan aplikasi seperti PlayStation App, kesemua tangkapan skrin boleh diakses secara terus dan ada masa saya ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesuatu gambar. Bagi perkara ini saya boleh gunakan Circle to Search untuk mendapatkan informasi berkait dengan tangkapan skrin tersebut dengan cepat seperti nama watak dan juga permainan yang menjadi sumber untuknya.

Browsing Assist

Galaxy AI mempunyai beberapa fungsi yang mempertingkatkan pengalaman melayari laman web, antara fungsi yang saya sering gunakan adalah Summary. Ia berguna apabila saya mencari sesuatu mengenai permainan video seperti panduan ataupun FAQ, tetapi pada masa yang sama saya ingin sesuatu yang lebih ringkas untuk rujukan yang cepat.

Interpreter

Saya sering mendengar penstriman ataupun perkongsian terbaru permainan video dan ada masa ia disampaikan di dalam bahasa asing, terutama pembangun-pembangun dari Jepun. Ada masa perkongsian ini turut hadir dengan sari kata ataupun alih bahasa, tetapi ada juga ia mengambil sedikit masa. Bagi kes itu, saya akan menggunakan fungsi Interpreter untuk mendapatkan terjemahan secara terus. Sedikit mengecewakan kerana saya tidak boleh memasang video tersebut di telefon dan membuka Interpreter pada masa yang sama, sebaliknya saya perlu memasang penstriman ataupun video di tempat lain dan menggunakan Interpreter di Samsung Galaxy S25 Ultra.

Potrait Studio

Ini bukanlah untuk membantu saya bermain permainan video, akan tetapi ia lebih kepada membantu saya untuk mendapat kandungan tambahan daripada sesuatu permainan video. Buat masa ini saya sedang bermain Monster Hunter Wilds, dan Alma merupakan watak yang saya sukai sekarang. Oleh itu, saya akan menggunakan tangkapan skrin daripada permainan tersebut dan menjadikan sesuatu yang lebih kreatif untuk digunakan sebagai perkongsian media sosial dan juga dijadikan sebagai wallpaper.

Buat masa ini, masih tiada fungsi secara terus menggunakan Galaxy AI untuk bermain permainan mudah alih, selain daripada Game Booster yang menggunakan teknologi oleh Qualcomm. Namun, dengan perkembangan pesat untuk AI, contohnya Copilot untuk Xbox yang sedang dibangunkan oleh Microsoft, oleh itu tidak mengejutkan jika Galaxy AI juga dikembangkan untuk membawa fungsi yang sama.

Leave a Reply