Skip to main content

Dengan pelbagai kontroversi yang menimpa filem ini, ramai yang mengatakan yang Disney mungkin melakukan perubahan terlalu besar untuk penceritaan klasik Snow White, akan tetapi saya boleh katakan yang filem Snow White mempunyai masalah yang sebaliknya, iaitu tiada perubahan yang besar untuk menjadikannya berdiri di atas kaki sendiri berbanding adaptasi-adaptasi sebelum ini. Walaupun ia masih satu filem yang memberikan pengalaman tontonan yang baik, akan tetapi saya tidak boleh untuk tidak memikirkan yang ia satu peluang yang tidak dipenuhi untuk mengukuhkan lagi watak Snow White.

Snow White lakonan Rachel Zegler dilahirkan sebagai puteri raja kepada satu kerajaan yang sangat mesra dengan rakyatnya. Setiap hari istana akan menyediakan pai epal untuk diberikan kepada rakyat jelata. Kerajaan harmoni dan keluarga bahagian tidak bertahan lama, selepas kematian ibunya, raja kemudian berkahwin dengan permaisuri baharu yang dibawakan oleh Gal Gadot. Permaisuri baharu ini tidak mengambil masa yang lama untuk menyingkirkan raja dan memerintah kerajaan tersebut dengan mementingkan kebendaan. Snow White juga telah diminta untuk menjadi pembantu istana sahaja.

Pada awalnya, Snow White sekadar mengikut sahaja arahan oleh permaisuri sehinggalah dia berjumpa dengan Jonathan lakonan Andrew Burnhap iaitu bekas pelakon yang menjadi pencuri. Melalui Jonathan, Snow White mula sedar mengenai kesan pemerintahan permaisuri yang kejam, dan apabila permaisuri mengarahkan pemburu untuk membunuhnya, Snow White melarikan diri dan terjumpa satu rumah yang menjadi tempat tinggal untuk tujuh orang kerdil. Semasa di dalam pelarian inilah Snow White mula sedar yang dia perlu melakukan sesuatu untuk melawan permaisuri.

Penceritaan kemudian berlaku seperti mana-mana kisah Snow White, berkait dengan permaisuri yang ingin menjadi tercantik, Snow White memakan epal, dengan kata lain tiada perubahan yang ketara. Sedikit perubahan yang saya boleh fikirkan ialah Jonathan yang merupakan seorang biasa sahaja dan bukan putera raja seperti adaptasi sebelum ini. Tidak membawa penceritaan yang berlainan bagi saya bukan satu masalah, tetapi saya sering mempunyai masalah watak Snow White tidak dikembangkan dengan baik melalui adaptasi sebelum ini dan perkara sama berlaku di dalam filem ini.

Kita tahu yang Snow White di dalam filem merupakan seorang puteri raja yang baik, dekat dengan rakyatnya, disukai oleh haiwan-haiwan di hutan dan menjadi rakan baik kepada tujuh orang kerdil. Filem ini tidak menyampaikan bahagian-bahagian ini dengan baik, dan sekadar berharap sahaja kepada saya sebagai penonton untuk menerima yang Snow White adalah sekian-sekian. Bagi saya penceritaan akan menjadi lebih menarik jika watak Snow White di beri ruang untuk berkembang lagi, dan membuktikan dengan jelas yang dia layak untuk dianggap sebagai “fairest of them all“.

Walaupun dengan kekurangan perkembangan watak Snow White ini, Rachel Zegler masih memberi prestasi yang boleh dipuji. Pembawaannya untuk watak ini adalah baik, tidak membawa sesuatu yang baharu tetapi masih terasa segar. Nyanyian adalah baik, dan saya menyukai kebanyakan lagu yang disampaikan olehnya walaupun saya tidak merasakan ada mana-mana lagu yang menjadi klasik ataupun siulan ramai. Rungutan mengenai pemilihan Rachel Zegler oleh kerana asal usulnya bagi saya tidak harus menjadi masalah, dan filem ini juga menyampaikan yang nama Snow White diberikan kerana dia dilahirkan semasa salji.

Satu lagi pilihan yang mencetus kontroversi adalah Disney memilih untuk menggunakan CGI bagi tujuh orang kerdil. Sebahagian daripada saya menyukainya kerana ia memberi ruang untuk tujuh orang kerdil ini mempunyai adegan yang lebih ‘kartun’ yang secara langsung menjadikan mereka lebih menarik, adegan yang mungkin lebih sukar untuk dilakukan jika dilakonkan oleh pelakon manusia. Filem ini juga memilih untuk memperlihatkan yang tujuh orang kerdil ini adalah berlainan dengan manusia kerdil dengan menyertakan manusia kerdil yang menjadi sebahagian daripada kumpulan Jonathan.

Bagi persembahan Gal Gadot pula, ia agak mengecewakan, tidak sepenuhnya kerana pembawaan Gal Gadot tetapi juga terasa yang wataknya tidak diberi ruang untuk menjadi lebih daripada sekadar melakukan perkara jahat dan melakukan mesyuarat dengan cermin. Nyanyian Gal Gadot juga bukanlah terbaik, dengan lagu-lagunya adalah ringkas dan disampaikan seperti satu dialog sahaja. Dengan kata lain ia sekadar mencukupi untuk menyertakan antagonis di dalam filem ini.

Rekaan produksi pula saya boleh katakan bukanlah yang terbaik, terdapat beberapa adegan yang kelihatan cantik tetapi tidaklah ‘magical‘. Saya juga boleh katakan yang rekaan produksi ini kelihatan seperti satu pementasan berbanding filem, kebiasaan ia menjadi masalah, tetapi oleh kerana gaya lakonan untuk filem ini juga kelihatan seperti satu pementasan, mungkin ia adalah satu pilihan yang dilakukan oleh pengarah di dalam penyampaian filem ini. Ia tidak kelihatan memukau, tetapi mencukupi untuk filem ini.

Akhir kata, Snow White satu filem yang sekadar mencukupi sahaja, ia tidak membawa sesuatu yang baharu berbanding adaptasi sebelum ini dan masih menyampaikan kebanyakan penceritaan yang kita sudah tahu. Rachel Zegler boleh dipuji untuk pembawaan watak Snow White walaupun wataknya tidak dikembangkan dengan baik. Manakala Gal Gadot agak mengecewakan kerana penyampaian yang biasa-biasa dan juga penulisan yang tidak menarik. Rekaan produksi dan juga penyampaian terasa seperti satu persembahan pentas yang bagi saya bukan satu masalah bahkan menjadikan filem ini sedikit unik.

Snow White ditayangkan pada 20 Mac.

Gambar oleh Disney. © 2024 Disney Enterprises, Inc. Hak Cipta Terpelihara.

Snow White
Satu adaptasi yang selamat, tidak membawa perubahan yang besar dan watak Snow White walaupun dengan pembawaan yang baik oleh Rachel Zegler masih gagal untuk disampaikan dengan lebih berkesan ataupun menarik.
Positif
Persembahan baik oleh Rachel Zegler
Tujuh orang kerdil dilakukan dengan baik
Rekaan produksi unik
Negatif
Watak Gal Gadot kurang menarik
Adapatasi selamat
7

Leave a Reply

Final Score