Skip to main content

Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.

MLB The Show 25

Tarikh Pelancaran: 18 Mac 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch

Musim baharu liga besbol Amerika Syarikat iaitu MLB bermula secara rasminya minggu ini, dan bersama dengannya permainan simulasi sukan tersebut iaitu MLB The Show 25 turut dilancarkan pada minggu ini. Permainan simulasi besbol ini dipertingkatkan lagi dengan teknologi ShowTech yang dikatakan mempunyai ratusan animasi berdasarkan pemain profesional untuk menjadikan permainan ini lebih realistik, mod-mod lain di dalam permainan ini juga ditambah baik untuk menjadikannya lebih mencabar termasuk juga tahap kesukaran baharu.

Assassin’s Creed Shadows

Tarikh Pelancaran: 20 Mac 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Penantian sekian lama untuk Assassin’s Creed berlangsung di Jepun akhirnya berakhir, dengan pelancaran Assassin’s Creed Shadows pada minggu ini. Selain membawa pemain ke dunia sejarah Jepun, pemain juga diberikan dua watak iaitu Naoe seorang shinobi dan Yasuke seorang samurai berkulit hitam. Tidak seperti permainan sebelum ini, di mana anda hanya boleh memilih salah satu watak, sebaliknya pemain boleh menggunakan kedua-dua watak sepanjang permainan dan kedua-dua mereka mempunyai gaya pertempuran yang tersendiri.

Xenoblade Chronicles X

Tarikh Pelancaran: 20 Mac 2025
Platform: Nintendo Switch

Antara permainan terbaik untuk Wii U, Xenoblade Chronicles X minggu ini dilancarkan untuk Nintendo Switch dengan versi baharu iaitu Xenoblade Chronicles X Definitive Edition. Versi ini menyertakan kesemua DLC yang dilancarkan untuk permainan ini, dan juga penambahan kepada penceritaan termasuk juga kawasan baharu yang khusus untuk penceritaan tersebut. Definitive Edition ini juga menyertakan kualiti grafik yang lebih baik untuk memberikan pengalaman baharu mengembara dan meneroka planet Mira.

Atelier Yumia: The Alchemist of Memories & the Envisioned Land

Tarikh Pelancaran: 21 Mac 2025
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Siri Atelier kembali lagi dan kali ini membawa protagonis baharu iaitu Yumia. Atelier Yumia bukan sahaja memperkenalkan watak baharu tetapi juga menggunakan sistem pertempuran secara aktif dan tidak lagi mengikut turutan. Sebagai Yumia, pemain mempunyai kebolehan untuk memanipulasi “mana” di dalam setiap barangan untuk menghasilkan barangan yang berlainan berdasarkan resipi yang ada. Barangan ini boleh digunakan di dalam pertempuran dan juga pengembaraan.

Bleach: Rebirth of Souls

Tarikh Pelancaran: 21 Mac 2025
Platform: PlayStation, Xbox Series, PC

Permainan pertarungan berdasarkan Bleach ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemain untuk mengawal watak-watak daripada siri anime dan manga Bleach tetapi juga untuk menyampaikan penceritaan awal siri ini dalam bentuk yang baharu. Pemain dapat menggunakan lebih 30 watak, termasuk juga Ichigo, Rukia, kesemua ‘Gotei 13’ dan juga beberapa daripada Espada. Permainan ini menyertakan beberapa tatamain yang unik seperti Reverse Fate yang membolehkan watak untuk menjadi lebih berkuasa apabila berada di dalam keadaan yang terdesak.

Leave a Reply