Dengan lambakan perkhidmatan penstriman, mungkin tidak terkejar untuk mengetahui kandungan-kandungan terbaru yang mula ditawarkan di perkhidmatan tersebut. Oleh itu, melalui segmen terbaru ini, pada setiap hari Jumaat kami akan kongsi-kan lima kandungan terbaru ataupun kandungan lama yang baru sahaja boleh distrim di mana-mana perkhidmatan penstriman termasuk juga yang perlu dibeli atau disewa di Apple TV Store dan Google TV Store.
Bagi minggu ini, berikut adalah 5 kandungan menarik yang anda boleh strim:
Dope Thief
Platform: Apple TV+
Brian Tyree dan Wagner Moura dua sahabat pada awalnya merasakan mereka jumpa cara untuk membuat duit dengan mudah – menyamar menjadi ejen DEA dan merampas dadah dari pengedar-pengedar kecil. Keadaan menjadi berbahaya apabila mereka tersalah merompak satu pengedar dadah yang besar dan menjadikan mereka berdua dan juga ahli keluarga sasaran.
The Electric State
Platform: Netflix
Filem dengan bajet terbesar oleh Netflix ini diarahkan oleh Anthony Russo dan juga Joe Russo dan merupakan adaptasi kepada novel grafik berjudul sama oleh Simon Stalenhag mengenai dunia realiti alternatif pada tahun 1990 tetapi sudah dipenuhi dengan teknologi robot. Michelle lakonan Millie Bobby Brown ingin mencari abangnya tetapi ia juga melibatkan peperangan di antara manusia dan robot.
Moana 2
Platform: Disney+ Hotstar
Moana kembali untuk pengembaraan baharu untuk mencari satu pulau yang sangat penting untuk memastikan puak Motunui dapat berhubung dengan puak-puak lain. Pengembaraan Moana ini tidak mudah kerana pulau tersebut telah disembunyikan oleh Nalo menggunakan ribut petir yang akan menyerang sesiapa sahaja yang menghampirinya.
The Wheel of Time (Musim 3)
Platform: Prime Video
Dengan ancaman semakin besar, Moiraine Damodred dan Rand al’Thor perlu melakukan satu pengembaraan yang merbahaya untuk mengetahui sendiri mengenai nasib sebenar Dragon Reborn. Namun, mereka terus dikejar oleh Forsaken dan Rand juga semakin hilang dirinya sendiri, menjadi tanggungjawab Moiraine untuk memastikan dia tidak menjadi jahat.
Companion
Platform: Apple TV, Google TV (Beli/Sewa)
Josh telah membawa Iris iaitu sebuah humanoid ke percutian bersama dengan rakan-rakannya, namun keadaan menjadi kucar kacir apabila tetapan Iris menjadikannya ganas termasuk juga membunuh. Mereka cuba untuk menutup Iris akan tetapi Iris menjadi lebih bijak dan melakukan pelbagai elah untuk menyelamatkan diri.