Skip to main content

Podsiar rasmi Xbox hari ini telah berkongsi lanjut mengenai perancangan Microsoft untuk membangunkan Copilot bagi permainan video. Copilot merupakan pembantu digital untuk produk-produk Microsoft seperti Windows, ia juga disertakan di dalam aplikasi-aplikasi mereka seperti Microsoft Words dan Microsoft Excel.

Fatima Kardar iaitu Naib Presiden Korporat, Gaming AI di Microsoft telah mengatakan yang mereka sedang mengintegrasi Copilot untuk digunakan bagi pemain permainan video. Beliau mengatakan yang fungsi ini akan tiba terlebih dahulu di aplikasi Xbox di telefon pintar, diikuti dengan integrasi penuh di dalam konsol Xbox mereka.

Melalui beberapa contoh yang diperlihatkan, Copilot boleh menerima arahan daripada pemain untuk memasang mana-mana permainan ke Xbox, meminta nasihat mengenai apa yang boleh dilakukan di dalam permainan dan juga memberi rumusan mengenai sesuatu kejadian di dalam mana-mana permainan dan memberi pandangan untuk melakukannya dengan lebih baik.

Antara contoh yang diperlihatkan adalah bertanya kepada Copilot apa yang boleh dilakukan menggunakan kayu di dalam Minecraft, mereka menggunakan contoh bagi pemain baharu dan Copilot akan menyatakan apa yang perlu dilakukan pada awal permainan seperti menghasilkan Crafting Table dan menghasilkan Pickaxe. Jika membuka tetapan ‘Cheats’, Copilot juga boleh memberitahu lokasi-lokasi penting.

Selain itu, mereka juga memberi contoh bagi permainan Overwatch bermula dengan membantu untuk memilih watak yang bersesuaian berdasarkan watak-watak lain di dalam pasukan, memberi nasihat semasa menantikan waktu respawn atau pemain juga boleh bertanya mengapa mati jika tidak pastik dengan apa yang berlaku di dalam sesi permainan tersebut.

Beliau juga mengatakan perkara yang penting bagi Copilot adalah ia hadir pada waktu yang tepat dan tidak akan mengganggu sesi permainan. Oleh disebabkan itu, mereka akan bermula di aplikasi Xbox untuk telefon pintar dan pemain akan berinteraksi sebagai alat bantuan berbanding sesuatu yang berada di dalam permainan.

Mereka akan bekerjasama dengan pembangun permainan dan juga pencipta kandungan bagi mendapatkan data-data tepat dan terkini untuk dijadikan sebagai sumber bagi Copilot ini. Copilot untuk aplikasi Xbox akan tiba untuk Xbox Insiders terlebih dahulu tidak lama lagi.

Leave a Reply