Dari semasa ke semasa, ada sahaja filem ringkas tetapi sangat berkesan di dalam penyampaian menjadikan ia satu filem yang mengejutkan. Novocaine merupakan salah satu filem tersebut, filem ini tidak membawa penceritaan ataupun apa-apa yang luar biasa (kecuali mengenai keunikan watak utama) akan tetapi setiap bahagian ini disampaikan dengan berkesan membuatkan pengalaman tontonan sangat memuaskan. Filem ini boleh dikatakan menanda setiap kotak untuk menjadi filem yang baik bagi genre-genre berbeza tidak kira aksi, komedi dan juga cinta.
Di dalam filem ini, Nathan Caine lakonan Jack Quaid mempunyai penyakit saraf yang membuatkan dia tidak dapat merasa kesakitan. Disebabkan perkara ini, dia hidup dengan lebih berhati-hati termasuk juga tidak memakan makanan pepejal kerana khuatir yang dia tergigit lidah tanpa disedari. Ini juga membuatkan dia belajar cara berubah dan melakukan pertolongan cemas. Kondisi ini juga membuatkan dia kurang bersosial dan lebih memilih untuk hidup secara bersendirian. Perkara ini menjadikan watak Nathan agak menarik dan tidak mendatar.

Dia bekerja sebagai Penolong Pengurus di sebuah bank, dan berminat dengan seorang pekerja bernama Sherry lakonan Amber Midthunder. Satu hari, rompakan berlaku di bank tersebut yang melibatkan tiga orang perompak, dan di dalam usaha untuk melarikan diri, perompak tersebut telah mengambil Sherry sebagai tebusan. Risaukan yang perompak tersebut mengapa-apakan Sherry, Nathan bertekad untuk bertindak sendiri dan mencari perompak tersebut. Dengan ‘kelebihan’ dia tidak dapat merasa kesakitan serba sedikit membantu di dalam usaha menyelamat ini.
Filem ini berdurasi hampir 2 jam, dan saya boleh katakan ia terisi dengan padat. Mungkin untuk 30 minit pertama sahaja ia sedikit perlahan kerana lebih memfokuskan pengenalan untuk Nathan dan juga bagaimana dia berkenalan dengan Sherry, tetapi selepas rompakan berlaku, setiap adegan terisi dengan adegan-adegan yang ganas dan menyeronokkan. Cubaan Nathan untuk mencari perompak diringkaskan tetapi kerana filem ini juga disampaikan secara komedi, ia bukanlah satu masalah dan saya boleh sahaja menerimanya.
Bahagian aksi juga dilakukan dengan baik, ia menggunakan kelebihan Nathan ini dengan baik untuk melakukan perkara-perkara yang mengerikan tetapi dengan Nathan tidak merasa apa-apa ia sekadar menjadi perkara yang menyusahkan dan juga melucukan. Nathan juga tidak dilakukan dengan seorang yang berkemahiran, akan tetapi diperlihatkan yang dia bukanlah seorang yang hebat di dalam melawan atau menggunakan senjata tetapi dia boleh untuk menerima segala pukulan ataupun tembakan dan meneruskan seperti tiada apa yang berlaku, ia juga memberi lesen untuk memberikan adegan aksi yang lebih kreatif.
Filem ini sekadar mempunyai tiga orang sahaja penjahat iaitu yang melakukan rompakan akan tetapi filem ini melakukan kerja yang baik di dalam menyampaikan tiga orang ini secara berasingan memberi ruang untuk setiap penjahat ini mempunyai adegan mereka tersendiri bersama dengan Nathan. Setiap daripada mereka juga mempunyai personaliti tersendiri yang menjadikan setiap adegan yang menampilkan mereka lebih menarik.

Selain watak-watak penjahat ini, beberapa lagi watak juga dilakukan dengan menarik seperti Sherry yang bukan sekadar menjadi mangsa tetapi mempunyai perwatakannya sendiri dan mempunyai chemistry yang baik dengan Nathan, Roscoe lakonan Jacob Batalon yang membantu Nathan di dalam mencari pencuri ini, hadir dalam masa singkat sahaja tetapi mencukupi untuk memberi kesan yang baik di dalam penceritaan. Bahkan, ada dua watak detektif yang menyiasat mengenai rompakan ini juga mempunyai bahagian yang singkat sahaja tetapi sangat berkesan melalui personaliti mereka berdua.
Akhir kata, Novocaine walaupun mempunyai penceritaan yang ringkas tetapi satu filem yang sangat menyeronokkan kerana ia melakukan setiap bahagian dengan baik. Pembinaan watak dilakukan dengan baik, adegan aksi memberi kepuasan, bahagian komedi dilakukan dengan berkesan bahkan bahagian romantik juga dilakukan dengan baik menjadikan filem ini lengkap dengan pelbagai lapisan yang berbeza.
Novocaine ditayangkan pada 13 Mac 2025.
Quick Review: Novocaine, 9/10
Jack Quaid sekali lagi membuktikan beliau seorang pelakon yang berbakat. Quirky watak Hughie dari The Boys + keyakinan tinggi Josh dari The Companion dapatlah Nathan Caine.
Aku puas hati, tapi masih tak suka ada obvious gore/violent scene dipotong. Jalan cerita yang ringkas, ada klise dia tapi penyampaian yang bagus dan lancar. Struktur cerita yang mudah untuk semua tetapi padat dengan aksi ganar yang mengerikan. Sudah semestinya, dengan Jack Quaid pasti akan ada elemen komedi mencuit hati.
Izzat dari Aksiz cakap, bayangkan filem aksi orang bekerja seakan lakonan Jason Statham yang jauh lebih menarik. Aku sangat setuju. Apa yang kurang? Aku tak suka gandingan Quaid dengan Amber Midthunder, and aku tak suka love story mereka.
9/10, wajib tengok wayang.
Mickey 17 entah la, takut nak tengok sebab mix reviews yang tak meyakinkan aku untuk tonton di pawagam.