Skip to main content

Bob Dylan boleh dikatakan sebagai antara penyanyi terbesar di dalam sejarah muzik, filem biografi mengenai individu ini sudah semestinya dijangkakan akan menjadi besar dan gah, akan tetapi James Mangold memilih sesuatu yang berlainan untuk A Complete Unknown. Ia bukan satu biografi yang mengagungkan Bob Dylan sebaliknya ia lebih memfokuskan kepada bagaimana seperti sesiapa sahaja di dunia ini, sentiasa di dalam perjalanan untuk mencari diri sendiri.

“A Complete Unknown” merupakan lirik bagi bahagian korus untuk lagu Like a Rolling Stone, ia benar-benar menggambarkan fokus untuk filem ini. Bob Dylan yang di bawa dengan sangat baik oleh Timothee Chalamet, semasa berumur 20 tahun telah pergi ke New York City untuk berjumpa dengan idolanya Woody Guthrie yang di dalam hospital kerana penyakit Huntington. Kebetulan semasa dia melawat Woody Guthrie, Pete Seeger juga sedang berada di hospital. Melihat bakat Bob Dylan, Pete Seeger kemudian membawa Bob Dylan untuk membuat persembahan dan ia telah menarik minat rekod label dan bermulalah karier Bob Dylan sebagai artis.

Daripada awal lagi filem ini cuba untuk mengetengahkan mengenai Bob Dylan yang tidak ingin diikat ataupun terhad kepada perkara tertentu sahaja, apabila Pete Seeger bertanya jika dia seorang “Folk Singer”, dia mengatakan “Ya” tetapi pada masa yang sama dia mendengar muzik lain dan ingin melakukan sesuatu yang berbeza, diakibatkan dia juga seorang yang bersifat ‘tidak melawan’ dia sekadar mengikut arus dan kariernya bermula dengan menyanyi lagu-lagu artis lain. Filem ini juga dengan baik memperlihatkan bagaimana dua wanita yang menjadi bahagian penting di dalam pembentukan Bob Dylan iaitu Sylvie Russo dan Joan Baez.

Sylvie Russo dan Joan Baez boleh dikatakan sebagai dua watak antagonis, tetapi bukan watak antagonis di dalam maksud klasik tetapi mereka berdua walaupun memainkan peranan penting di dalam pembentukan awal Bob Dylan tetapi mereka juga sesuatu yang mengikatnya. Sylvie Russo merupakan seorang aktivis yang ingin Bob Dylan untuk menghasilkan karya yang asli yang membuatkan Bob Dylan mula menghasilkan lagu-lagu berkait dengan isu sosial, tetapi pada masa yang sama dia juga tidak menyukai sikap tertutup Bob Dylan dengan dia tidak langsung mengetahui mengenai latar belakangnya.

Manakala Joan Baez antara yang terawal melihat bakat Bob Dylan sebelum jatuh cinta padanya menjadi orang penting di dalam memacukan karier Bob Dylan dengan mereka sering melakukan konsert bersama dan Joan Baez juga antara yang terawal akan menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Bob Dylan. Namun, menyanyi bersama dengan Joan Baez juga membuatkan Bob Dylan terasa terikat dengan jangkaan orang ramai dan juga keinginan rekod label. Ini membuatkan dia memberontak dengan cara-cara tertentu termasuk juga menggunakan gitar elektrik.

Saya juga menyukai filem ini bukan sahaja menyampaikan penceritaan melalui kaca mata Bob Dylan, bahkan saya masih boleh katakan yang perwatakan Bob Dylan masih menjadi misteri sepanjang filem ini, filem ini juga menggunakan watak-watak lain terutama Sylvie Russo dan Joan Baez yang melihat perubahan yang berlaku kepada Bob Dylan daripada luar, menjadikannya ia pandangan yang sama dengan penonton berbanding cuba untuk menjadikan penonton melihat daripada dalam Bob Dylan kerana secara jujurnya ia akan sentiasa menjadi misteri untuk orang lain.

Cara penyampaian ini ada juga kekurangannya, kerana ia tidak memberi ruang yang banyak untuk Bob Dylan dikembangkan wataknya, ada masa keliru dengan apakah permasalahan pada waktu ini. Oleh itu, saya tidak akan terkejut jika ada penonton yang keliru ataupun tidak dapat mengikuti penceritaan dengan baik, kerana ia tidak disampaikan dengan secara mendatar sebaliknya daripada beberapa perspektif yang berbeza dan jarang sekali perspektif tersebut adalah daripada Bob Dylan sendiri.

Tambahan lagi, antara perkara utama di dalam filem ini adalah masalah membawa gitar elektrik di dalam folk music, oleh kerana saya tidak memahami mengenai permasalahan ini, ia kurang memberi impak di dalam filem ini tetapi jika anda ketahui mengenai kontroversi ini, bagi saya ia membantu untuk menjadikan filem ini lebih mudah untuk diikuti. Oleh itu, membaca mengenai Bob Dylan sepenuhnya sebelum tonton filem ini mungkin tidak diperlukan akan tetapi agak baik untuk terlebih dahulu membaca mengenai “Kontroversi Dylan Elektrik”.

Bagi yang menyukai filem muzikal, ataupun Bob Dylan, filem ini juga dengan baiknya menggunakan muzik-muzik daripada beliau dan juga muzik lain. Penyampaian muzik ini tidak dijadikan sebagai satu adegan tersendiri, tetapi ia sebaliknya diselitkan dengan baik di dalam filem dan tidak terasa janggal ataupun terasa asing sebaliknya ia menjadi sebahagian penting bagi keseluruhan penceritaan. Ia juga bukan sekadar menjadikan muzik untuk menggantikan ataupun menyampaikan sesuatu adegan sebaliknya ia sekadar berkait dengan Bob Dylan merupakan seorang penyanyi dan penyanyi akan menyanyi. Timothee Chalamet juga menyanyikan lagu-lagu dengan sangat baik. Tambahan pada itu, filem ini juga dirakamkan dengan sangat cantik, banyak adegan yang disampaikan dengan cukup berkesan kerana pilihan sinematografi yang digunakan.

Akhir kata, A Complete Unknown merupakan satu filem yang ‘kecil’ jika ingin dibandingkan dengan nama Bob Dylan tetapi perkara ini membantu untuk menghasilkan satu filem yang lebih berjiwa dan menyampaikan perwatakan Bob Dylan dengan baik walaupun mungkin mengelirukan bagi yang tidak benar-benar mengetahui mengenai kisah hidup beliau. Pilihan untuk turut menyampaikan filem ini daripada beberapa perspektif lain juga menjadikan filem ini lebih unik dan menarik.

A Complete Unknown ditayangkan di pawagam GSC terpilih sebagai sebahagian daripada kerjasama GSC International Screens x Searchlight Pictures bermula pada 27 Februari 2025.

A Complete Unknown
Satu filem yang berjiwa untuk antara penyanyi terbesar di dunia, penceritaan disampaikan melalui beberapa perspektif yang menjadikannya unik tetapi mungkin menjadi sedikit mengelirukan. Keseluruhannya ia satu filem yang bukan sekadar satu biografi biasa.
Positif
Timothee Chalamet membawa watak Bob Dylan dengan baik
Penyampaian yang menarik
Negatif
Beberapa bahagian mungkin mengelirukan
8

Leave a Reply

Final Score