Skip to main content

Astro Shaw telah mengumumkan kerjasama strategi bersama dengan Sympatico iaitu label produksi di bawah Double Vision, serta Argo Films dari UK yang diterajui oleh penerbit Richard Johns, dan Mocha Chai Laboratories untuk menerbitkan filem romantik bertajuk Mojo.

Mereka akan bertindak sebagai penerbit bersama serta memimpin strategi pemasaran dan pengedaran di Malaysia untuk tayangan pawagam tahun ini. Dalam pada itu, Mojo bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi pengedaran oleh syarikat berpangkalan di UK, SC Films International.

Mojo diarahkan oleh Min Lim yang sebelum ini mengarah siri Kopitiam versi olahan semula dengan skrip ditulis oleh Honey Ahmad, Zahir Omar, dan Chi-Ren Choong. Manakala Michelle Chang dan Richard Johns menjadi penerbit.

Filem ini mengisahkan Adi lakonan Adipati Dolken yang bekerja di Moo Magic Farms berjaya melonjakkan jualan syarikat ternakan tersebut dengan menjadikan seekor lembu unik, Mojo, sebagai bintang media sosial. Dalam pada itu, syarikat ternakan tersebut giat mengambil alih ladang tenusu kecil di luar bandar demi keuntungan. Namun hanya satu perusahaan di Kampung Semerah Padi yang diusahakan oleh petani, Atan bersama anak perempuannya, Ayu lakonan Mimi Lana menolak dan tidak mahu menjual tanah mereka.

Keadaan menjadi huru-hara apabila Atan menculik Mojo untuk dijadikan tebusan. Demi mendapatkan Mojo semula, Adi menyusup ke Kampung Semerah Padi dan menyamar untuk memujuk penduduk kampung menjual tanah mereka. Dalam kekalutan, Adi mula jatuh cinta dengan Ayu dan menikmati kehidupan sederhana di kampung.

Selain Adipati Dolken dan Mimi Lana, filem ini juga melibatkan Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato’ A. Tamimi Serigar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah dan Farah Ahmad.

Leave a Reply