Skip to main content

Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.

Kingdom Come: Deliverance 2

Tarikh Pelancaran: 4 Februari 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, PC

Henry kembali! Bagi yang pernah bermain Kingdom Come: Deliverance yang dilancarkan pada tahun 2018, permainan susulan ini tidak perlu dijelaskan panjang dan sudah semestinya dinanti-nantikan. Bagi yang tidak pernah mencuba, ia merupakan permainan aksi-RPG dengan elemen dunia terbuka, ia menawarkan penceritaan zaman pertengahan dengan tatamain yang mementingkan dunia yang realistik – tidak kira pertempuran sehinggalah rekaan dunia.

Rogue Waters

Tarikh Pelancaran: 4 Februari 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch

Sudah dilancarkan untuk PC sejak tahun lepas, Rogue Waters merupakan permainan yang meletakkan pemain sebagai lanun di dalam tatamain strategi mengikut turutan dengan elemen rogue-lite. Pemain akan membentuk krew tersendiri dan akan bertempur dengan pelbagai halangan yang akan dihasilkan secara rawak memberikan pengalaman berbeza setiap kali bermain.

Rift of the NecroDancer

Tarikh Pelancaran: 6 Februari 2025
Platform: PC

Khusus untuk peminat permainan irama, Rift of the NecroDance merupakan permainan susulan untuk Crypt of the NecroDancer. Di dalam permainan ini, pemain menjadi Cadence dan perlu melawan dengan pelbagai raksasa menggunakan kuasa irama. Permainan ini menyertakan 30 lagu asli yang dihasilkan oleh Danny Baranowsky, Jules Conroy, Alex Moukala, Josie Brechner dan ramai lagi. Buat masa ini, ia hanya dilancarkan untuk PC, tetapi turut diumumkan bagi platform lain dan akan tiba sekitar tahun ini.

Momodora: Moonlit Farewell

Tarikh Pelancaran: 6 Februari 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch

Permainan kelima di dalam siri Momodora meneruskan lagi pengembaraan Momo Reinol. Ia merupakan permainan 2D side-scrolling Metroidvania dan di dalam permainan ini, Momo Reinol kita mempunyai sistem stamina dan juga “sigil” yang boelh digunakan yang memberikan kebolehan-kebolehan yang berbeza. Permainan ini sudah dilancarkan untuk PC pada tahun lepas dan menerima penerimaan yang sangat baik dan kini boleh dimainkan di konsol.

Big Helmet Heroes

Tarikh Pelancaran: 6 Februari 2025
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

Permainan beat’ em up yang meletakkan pemain menjadi pahlawan dengan helmet yang besar ini juga boleh dimainkan secara koperasi. Pemain boleh memilih beberapa kelas berbeza yang mempunyai cara pertempuran berlainan iaitu Warrior yang menggunakan pedang dan perisai, Brute menggunakan senjata lebih besar, Rogue menggunakan dagger dan bergerak pantas dan Monk yang menggunakan staff, menjanjikan sesi permainan yang comel dan pantas.

Leave a Reply